Ads 468x60px

Saturday, October 29

Bukti cintaku padaMu

Assalammualaikum wbt..

Sebagaimana yang kita tahu, setiap percintaan kita semuanya mesti didahului dengan cinta Allah. Tidak kiralah dengan siapa kita cinta asalkan kita kejar cinta pertama dan selamanya ini bagi menggapai keindahan kehidupan dalam keredaan. Jika sebelum ini ana berkongsi mengenai cinta sesama manusia, dalam ruangan yang ada ini ana nak berkongsi pula mengenai cinta kita yang agung dan kekal selama-lamanya iaitu cinta seorang hamba akan pencipta-Nya, Allah swt..Persoalan yang timbul bagaimana kita nak mengenal pasti sejauh mana kita meletakkan Allah swt menempati cinta paling utama dihati kita..marilah sama-sama kita muhasabah diri dengan apa yang ana petik daripada majalah kegemaran ana, Solusi ruangan karya Fatimah Syarha Mohd Noordin.

1 . Segera menyahut call daripada-Nya
“Allahuakbar! Allahuakbar!” , panggilan azan berkumandang. Rasanya dimana kita pada masa itu. Adakah kita masih di kerusi dan meja belajar sedang sibuk study untuk exam? Atau adakah kita sedang kusyuk menonton perlawanan bola sepak? Nilailah tahap mana cinta kita pada Allah berbanding perkara-perkara lain.

2. Memberi perhatian pada sms dan e-mail daripada-Nya
Wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah melalui perantaraan Malaikat Jibril iaitu AL-Quran hari ini di mana-mana ada. Adakah kita sentiasa membaca dan menghayati setiap ayat-Nya? Adakah kita mengadaptasikan kandungannya dalam kehidupan kita? Jadi jika benar cinta kita pada Allah, cintalah kalamnya. Baca dan fahamilah setiap ayat-ayat-Nya.

3. Memandang MMS-Nya selalu
Kita memang tidak dapat melihat zat Allah yang maha tinggi. Akan tetapi Allah swt sudah pun menghantar MMS kepada kita iaitu “kebesaran-Nya”. Lihatlah setiap penciptaan-Nya yang unik dan mempersonakan. Tiada sesiapa pun yang boleh menandingi-Nya. Saban waktu kita memandang-Nya, makin kerap menjengah qalbu tanda semarak cinta kita pada-Nya.

4. Rasa malu-malu saat berdating dengan-Nya
Tatkala  kita bertembung mata dengan seseorang yang kita cintai biasanya hanya terdaya memandang sebentar atau sepintas lalu sahaja. Mengapa ye?  Jawapannya mudah sahaja kerana dorongan rasa malu. Maka lahirlah cinta pandang pertama. Kita lihat pula saat berdating kali pertama selepas nikah pula. Kita cukup jaga tingkahlaku atau pergerakan kita.  Begitu juga sewaktu nak solat. Saat solat itu ialah saat kita berdating, yakni saat kita bersendirian dengan Allah swt. Jika kita benar-benar cinta akan Allah, setiap pergerakan solat kita jaga. Bukan hanya itu sahaja, malah kita mesti rasa malu jika nak buat perkara-perkara yang tidak disukai. Sama-samalah kita jaga rasa malu pada-Nya bukti cinta kita pada-Nya.

5. Sentiasa rindu dan ingat pada-Nya
Jika benar Allah swt adalah cinta teragung kita, maka hanya Allah sahajalah seharusnya kita rindui. Rindu pada Allah swt terubat tatkala kita hadir majlis ilmu yang mentauhidkan Allah swt.Rindu pada Allah terbias pada rindu kita akan AL-Quran, tahajud, orang soleh dan kebenaran.

6. Banyak menyebut nama-Nya
Jika kita cinta akan Allah swt, apa kata kita sama-sama jadikan Allah swt dalam setiap perbualan kita. Ingin berbicara apa-apa topik sekali pun, pasti Allah tidak lekang dibibir. Contohnya “InsyaAllah,jika Allah izinkan, kita berjaya juga dalam ujian ni” “Dia mengumpat saya? Tidak mengapa, Allah ada dan Allah akan bela saya.” Beruntunglah orang yang sentiasa mengingati Allah bukan hanya dikala susah sahaja. Jika kita ingat Allah, Allah akan sentiasa mengingati kita, insyaAllah.

7. Bersabar menghadapi ujian-Nya
Lumrah percintaan pasti akan ada ujian. Ujian itu dapat menilai sedalam mana cinta kita pada-Nya. Kita juga boleh menilai sejauh mana kesabaran dan ketabahan kita dalam menghadapi ujian-Nya. Kita belum lagi diuji dengan dihujani batu, dipulau sanak saudara atau dicaci sebagaimana yang Rasulullah hadapi dalam menegakkan syiar Islam. Usahlah kita mengharapkan hidup kita tiada ujian. Usahlah kita meminta ujian besar. Berdoalah agar Allah swt memberi kekuatan dan ketabahan kepada kita agar terus istiqamah dalam menghadapi segala ujian daripada-Nya. Apa yang perlu kita ingat bahawa Allah swt sengaja menguji kita untuk mengenal pasti siapa yang benar-benar mencintai-Nya.   

8. Mencintai segala sesuatu yang berkaitan dengan-Nya
Sebenarnya apa-apa sahaja yang berkaitan dengan orang yang kita cintai pastinya menjadi debaran bagi kita. Itulah lumrah bercinta. Apa bukti kita terpikat dengan cinta Allah? Sudah tentu kita perkara yang kita cintai berkait dengan Allah. Inilah bukti cinta kita semakin akrab dengan-Nya. Contoh seorang hamba yang merindui Kaabah. Kaabah itu Rumah Allah. Maka Kaabah juga dirasakan istimewa. Itulah bukti cinta kita kepada-Nya. Jika kita masih belum merindui Kaabah, manfaatkanlah rumah-rumah Allah yang terdapat di sekeliling kita. Jangan sunyikan surau dan masjid. Itu juga bukti cinta kita pada Allah swt.

9. Luapan perasaan luar biasa
Allah swt berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman ialah disebut nama Allah, akan gementar hati mereka, apabila dibacakan ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakal.” (surah AL-Anfal). Mendapatkan khusyuk bukanlah mudah tetapi kita masih boleh mendapatkannya. Berusahalah yang terbaik demi mendapatkan cinta kita dengan ALLAH swt. insyaAllah.

10. Rasa Cemburu
Cemburu dan cinta itu tidak dapat dipisahkan. Tanda kita cinta  pada Allah di mana kita cemburu apabila ada orang yang lebih mencintai kekasih kita.Ini cemburu positif bukan cemburu fitnah. Cemburulah kepada ulama, orang yang berilmu, dan orang yang lebih banyak beramal. Bukan cemburu yang sia-sia tetapi cinta dalam rangka untuk mencontohi mereka. Misalnya dalam solat, cemburulah orang yang solatnya diawal waktu, sentiasa menjaga setiap perbuatan dalam solatnya, secara berjemaah dan lebih kusyuk kerana dia lebih mendapat perhatian daripada Allah SWT.

11. Berusaha keras meraih reda-Nya
Bukti kita mencintai Allah swt ialah apabila kita sanggup berkorban melakukan apa-apa sahaja demi menggapai reda Allah swt. Menurut Ibnu Qayyim AL- Jawziyah, ada tiga kondisi dalam percintaan iaitu:
1.Berat hati  untuk mencintai tetapi dia memaksa dirinya,
2.Cinta makin menguat dan dia patuh,
3.Cinta menetap dihati dan dia sanggup mengorbankan apa sahaja.


Jadi dimana tahap cinta kita pada Allah swt sebenarnya? Muhasabahlah diri. Bangkitlah bagi menggapai cinta hakiki, cinta yang tiada tolok bandingnya. Dan ingatlah, tanpa cinta Allah, tiada cinta sesama manusia.

jazakallah

Friday, October 28

Pengalaman Satu Ibadah

Assalammualaikum wbt...



Jadilah manusia yang sentiasa bersabar..Alhamdulillah..lama sungguh ana menunggu detik sebegini. Maklumlah apabila pulang ke kampung halaman ni suasana agak berbeza sedikit..maksud ana tidak setiap hari ana boleh post entry di blog ni sebab tiada wifi. Jadi nak post apa-apa entry kena lah tangguh dulu.. lagi-lagi ana ni tidak minat sangat pergi Cyber cafe (Cc)..so, kenalah sabar.. semua tu ujian Allah nak uji kesabaran hambanya..Ok, sebagaimana yang ana janjikan..entry kali ni ana nak berkongsi mengenai pengalaman ana mengajar pada cuti semester...

Sehari sebelum ana ambil exam bagi subjek biologi dan kimia, ana dapat tawaran mengajar sekolah menengah daripada pihak PPD tempat ana melalui telifon. Pada mulanya ana rasa nak tolak je tawaran tu sebab ana dulu ajar sekolah rendah..tak pernah pula ana ajar sekolah menengah..tapi ana fikir ni rezeki daripada Allah dan mungkin ada hikmahnya ana mengajar ni..boleh jadikan sebagai pengalaman lagi..ana setuju aje.. ni kira kali ketiga ana mengajar..alhamdulillah..

Ana bertolak pulang ke kampung ana pada hari ahad dan pada keesokan harinya ana terus melaporkan diri sebagai tenaga pengajar di sekolah tersebut..rasa letih juga hari tu maklumlah rehat beberapa jam sahaja di rumah..dan rasa gemuruh juga apabila pertama kali jejak kaki di sekolah tu..tapi ana ingat lagi pesan ummi ana, “jika rasa gemuruh atau berdebar baca  YA HAYYU, YA QAYYUM.. insyaAllah, akan rasa confident semula pada diri kita”..Alhamdulillah, ana berjaya menyesuaikan diri.

Sudah menjadi kebiasaan setiap sekolah jika hari isnin mesti ada perhimpunan. Begitu juga dengan sekolah ana..semua guru kena duduk di atas pentas termasuklah ana..pada masa tu ana duduk dibahagian hadapan sekali dan pelbagai ragam ana lihat..Semua mata-mata pelajar ada kalanya tertumpu pada ana..maklumlah “cikgu baru” katakan…

Ana diamanahkan mengajar B. Melayu bagi tingkatan empat, Geografi bagi semua tingkatan 1 dan P.Seni bagi tingkatan satu dan dua termasuklah Kelas Peralihan..err pelik..ambil opsyen sains tapi tak ajar sains..reda jelah.. lagi pun mengajar sekolah menengah ni agak berbeza sedikit dengan sekolah rendah.. yelah jika sekolah rendah tu murid ibarat anak-anak kita tapi sekolah menengah ni kita jadikan pelajar macam kawan je..guru ana pernah cakap “ Nak jadi guru ni sebenarnya tak susah sangat cuma kamu perlu memahami rentak pemikiran dorang dan jangan pilih kasih..” ana ingat lagi pesan cikgu Ramli.



Hari pertama ana masuk ke kelas, ana interview seorang demi seorang pelajar. Ada pelajar yang ingat ana Pegawai Jabatan Agama Islam lah..Ustaz lah.. macam-macam..tulah yang ana dengar yang beri salam “assalamualaikum bang..” ana jawab je salam…sekali dapat tau ana cikgu, terkejut dia..huhuh…ada juga pelajar-pelajar yang nakal..tapi alhamdulillah, ana masih boleh mengawal..marah pun kena kawal..sebab ana dapat rasa macam mana perasaan ana dulu jika kena marah..jika ana marah pun lepas tu ana cepat-cepat reda semula..tak adalah sampai nak belasah atau pukul pelajar kerana ana tau setiap apa yang kita buat ni semuaya ibadat dan dapat balasan daripada Allah SWT...oleh itu,  jadikan doa itu senjata kita… jadi kita doalah pada Allah mudah-mudahan pelajar tu hijrah menjadi pelajar yang baik dan sentiasa dengar arahan kita....insyaAllah…

Satu lagi masalah guru-guru kita hari ini khususnya guru muslim jika mengajar contohnya subjek Sains, guru tu hanya mengajar sains semata-mata..tidak kaitkan dengan islam..jadi ana berharap sahabat-sahabat ana yang bakal menjadi pendidik, kita buat satu perubahan pada sistem pendidikan negara kita.. jika kita jadi guru subjek sains, sambil-sambil kita cerita apa kaitan sains dan islam... daripada mana datangnya ilmu sains ni..

Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, sesungguhnya semua ilmu yang ada kat muka bumi ni semuanya ilmu Allah..semuanya milik Allah..dan jangan lupa dakwah kita dalam islam ni tiada noktah..tiada titik perhentiannya…tetap diteruskan selagi mana kita hidup..insyaAllah..

Jazakallah…


Saturday, October 15

Sebulan Bagai Setahun

Assalammualaikum..

Selama dua minggu ana peperiksaan, pelbagai rintangan, dugaan ana tempuhi. Tidur tak lena...makan pun dah jarang.. Sebagaimana kata sahabat ana, ni bukanlah peperiksaan semata-mata. Ia juga sama seperti ujian hidup. Mesti ada senang dan susah. Kehidupan kita ni bagaikan roda kadangkala kita berada diatas dan kadangkala dibawah pula. Semuanya Allah nak uji sejauh mana kesabaran dan iman kita..


Alhamdulilah,akhirnya abez juga peperiksaan ana..Tinggal kita tawakal dan berdoa kepada Allah "Ya Allah, aku berserah kepada Mu setelah aku berusaha mengharungi ujian ini ya Allah, Lembutkanlah hati pensyarah yang menanda kertas kami ya Allah, Sempurnakanlah hajat kami memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini ya Allah, dan mudahkanlah langkah kami menuju ke semester akan datang dengan keredaan Mu ya Allah. Amin...


Kini ana berada dipenghujung semester..Ramai sahabat-sahabat seperjuangan ana dah pun balik ke kampung masing-masing. Cuti sebulan bagaikan setahun. Rasanya berat hati nak berpisah dengan sahabat ana walaupun sekejap. Selalunyakan bersama-sama, belajar bersama-sama, makan bersama-sama...semuanya bersama-samalah. Kini semuanya pulang dipangkuan keluarga masing-masing. Ana tetap doakan mudah-mudahan sahabat ana sihat walafiat disamping keluarga tersayang.

Cuti sebulan tidak bermakna rehat sahaja di rumah. Sahabat-sahabat ana ramai yang bekerja. Bagi ana sebagai pelajar UPSI, ana kembali ke kerjaya ana dulu..Cuma lebih mencabar sikit..kalau dulu berhadapan murid sekolah rendah kali ni sekolah menengah pula..huh..semoga Allah mempermudah segala urusan ana..amin..nak tau lebih lanjut lagi nantikan sahajalah entry ana akan datang.. insyaAllah


Jazakallah…

Sunday, October 9

Kamu Wanita Seribu Makna

Assalammualaikum…


Kaifahaluk?..alhamdulillah mudah-mudahan sahabat ana semua sihat-sihat sahaja. Walaupun ana kini masih berada di suasana exam, tapi insyaAllah ana akan cuba untuk berkongsi apa-apa ilmiah untuk sahabat-sahabat ana. Jika entry yang lepas ana berkongsi tentang bagaimana memilih pasangan hidup menurut islam. Entry kali ni ana nak cerita sedikit tentang keunikkan atau keistimewaan penciptaan wanita.


Sebagaimana yang semua orang tahu, kejadian wanita memang cukup unik. Saban waktu hidup wanita juga digambarkan bak bunga yang mekar mewangi di taman. Kelembutan, kecantikan dan kebaikan mereka selalu di dambakan oleh kaum lelaki kerana mereka ialah mahluk ciptaan Allah swt yang istimewa. Jika Adam dijadikan daripada inti pati tanah tetapi Hawa tidak dijadikan dari tanah. Ia dijadikan daripada sebahagian dari anggota tubuh Adam iaitu tulang rusuk Nabi Adam. Mereka dikahwinkan walaupun dari asal-usul kejadian yang berbeza. MasyaAllah, hebatkan ciptaan Allah. 

Akal mungkin menganggap alangkah baiknya jika kedua-dua Adam dan Hawa dari kejadian yang sama iaitu tanah. Jika mereka sejenis barulah padan jika dijodohkan. Begitulah pemikiran akal manusia. Dalam Islam, ia sebenarnya terkandung satu hikmah yang besar disebalik penciptaan wanita bagi menerangkan tentang peranan wanita itu sendiri.

Jika Allah SWT jadikan Adam dan Hawa daripada tanah, semestinya tanah itu sendiri berlainan jenis. Walaupun tanah menjadi perhubungan di antara Adam dan Hawa, namun ikatan itu tidak kuat. Ia seolah-olah menyatukan kedua makhluk yang berlainan. Jika mereka dari kejadian yang sama kemudian dikahwinkan, mereka seperti sahabat biasa sahaja. Sahabat biasa bukan teman yang istimewa. Jika hendak berpisah memang mudah.


Itulah di antara sebab Allah SWT tidak ciptakan Hawa dari tanah seperti Adam. Allah cipta Hawa dari diri Adam sendiri iaitu dari tulang rusuknya. Hakikatnya , rohaniah, perasaan dan fizikal mereka seolah-olah dari satu jasad yang sama. Di sinilah perkongsian suami isteri itu bermula.Barulah perkongsian suami isteri itu di anggap sebagai teman setia, sehidup, semati, seperjuangan dan yang paling baik bekerjasama. Pasangan suami isteri itu tidak sempurna jika tidak ada bersama-sama. Ia bukan sahaja menyempurnakan dari sudut biologi tetapi juga dari sudut menjaga anak, berjuang dan berjihad. Jika ada isteri sahaja dalam pengurusan rumahtangga, belum sempurna lagi penyusunan rumahtangga itu. Kedua-duanya mesti ada barulah sempurna.



Menurut Islam, rumahtangga seolah-olah satu bahagian di bahagi kepada dua. Ia bukan berasal dari dua keluarga yang disatukan.Dalam Islam hendak pisahkan sangat susah kecuali jika terdesak. Umpama satu badan, bukan senang hendak potong sebahagian anggota lain. Anggota itu adalah pelengkap kepada badan tersebut. Tanpa salah satu dari anggota itu, ia dikatakan cacat. Jika pasangan suami isteri dikatakan sebagai kawan, tidaklah memadai kerana peranan suami isteri terlalu banyak. Bahkan ia lebih dari hubungan seorang kawan. 

Peranan suami isteri itulah sahabat, pembantu, penghibur, penasihat, kawan seperjuangan. Bila susah sama-sama susah dan bila senang sama-sama senang. Ikatan yang banyak ini sudah cukup kuat bagi pasangan suami isteri. Ia tidak mudah terungkai. Kalau peranan suami isteri itu banyak dan hanya satu yang terungkai, ada ikatan lain yang masih boleh mengukuhkan itu banyak. Kalau ikatannya satu sahaja iaitu sebagai kawan tidak cukup. Ikatan itu mudah terungkai. Kalau banyak peranan, hanya satu yang terungkai, masih ada ikatan lain yang boleh mengukuhkan hubungan suami isteri itu. Itulah hikmah Hawa tidak dijadikan dari tanah tetapi daripada satu juzuk badan Adam. Ia seolah-olah senyawa dan saling memerlukan di antara satu sama lain dalam semua hal seperti cari rezeki, jaga anak, mengatur perjuangan, mencari ilmu. Itulah hikmah kejadian wanita.

Tambahan pula jika pasangan suami isteri itu dididik dengan agama. Ikatan suami isteri itu bertambah memberi makna. Di waktu muda, pasangan suami isteri banyak membuat hubungan biologi. Inilah yang mengerat hubungan suami isteri. Tetapi jika sudah lanjut usia, hubungan biologi sudah kurang. Agamalah yang menguatkan hubungan suami isteri. Allah menuntut pasangan suami isteri dengan tuntutan-tuntutan yang mesti ditunaikan oleh kedua belah pihak demi untuk menjaga hak-hak masing-masing dalam sistem kekeluargaan.

Agama banyak mengajar pasangan manusia saling berbuat baik di antara satu lain. Ini menimbulkan perasaan kasih sayang yang mendalam sekalipun, hubungan biologi sudah kurang. Agama merapatkan hubungan suami isteri. Perkahwinan itu betul-betul dibina di atas rasa yang suci murni. Ia seolah olah kembali kepada waktu manusia itu dicipta ketika zaman Adam dan Hawa yang berasal dari satu juzuk diri Adam. Mereka adalah dari satu badan.




Tanpa agama, akan hilanglah ikatan kasih sayang suami isteri kerana hubungan biologi yang sudah hambar . Kalau tidak dididik dengan agama dan tidak ada ikatan biologi yang kuat, ia akan menjarakkan pasangan tersebut. Semakin tua semakin jauh. Kadang-kadang duduk serumah tetapi dua tiga hari tidak berjumpa. Ada dan tidak ada sama sahaja. Tetapi kalau orang dididik dengan agama tidak berlaku demikian. Itulah hikmahnya Tuhan tidak jadikan kedua-duanya dari tanah. Ia dua perkara berbeza iaitu tanah dan tulang rusuk tetapi satu nyawa dari tubuh badan Nabi Adam. Seolah-olah apa perasaan Adam itulah perasaan Hawa. Kalau apa perasaan Hawa itulah perasaan Adam.

Kita sebagai manusia seharusnya peka dan berfikiran luas. Setiap perkara yang Allah SWT jadikan itu, semuanya perkara yang baik. Manusia hanya perlu ikut syariat sahaja yang Allah sudah tetapkan. Syariatlah yang akan menjadikan pasangan suami isteri sentiasa dalam keadaan yang romantis dan harmoni serta mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat sekalipun sudah tua usia perkahwinannya . Inilah hikmah kejadian manusia. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam reda Allah SWT..Amin…
Jazakallah..

Thursday, October 6

Ya Allah, Aku Jatuh Cinta !

Assalammualaikum..

Alhamdulilah..syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana ana masih diberi nikmat untuk menulis walaupun ana tahu ini hanya sementara..syukur banyak-banyak. Entry kali ini ana nak berkongsi sedikit tentang bagaimana memilih pasangan hidup menurut islam khususnya kaum adam. Entahlah ana pun tidak tahu mengapa tetiba saje ana terfikir mengenai pasangan hidup..ana dah jatuh cinta ke..atau sebagai persediaan ana...Allah je yang tahu..


Ada beberapa persoalan yang perlu  ditanya pada diri kita sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup.Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta memastikan samada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai lagi. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

"Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik."

Baginda bersabda lagi yang maksudnya:

"Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya."


Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calon isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia,kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.InsyaAllah…


Tanda-tanda seseorang wanita itu baik maruah dan akhlaknya antaranya ialah:

1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.

2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak,mengurus rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan manusia.

3. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt.

4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.

5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami,melayan suami dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan, menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami.

Disunatkan pula memilih gadis yang terdiri dari keturunan yang kuat agama, anak cucu orang alim dan soleh. Seseorang wanita yang kuat agama memiliki sifat-sifat kemanusiaan, berbudi pekerti tinggi.

Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulin maka itulah keistimewaan dan kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita solehah bererti dia telah mendapat satu nikmat Allah yang besar.Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas r.a:

"Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak menzalimi suaminya."


Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan keluarga yang soleh ini telah jelas dinyatakan sebahagian daripada sifat-sifatnya oleh Rasulullah saw:

"Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah seorang isteri yang solehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya."



Demikianlah di antara kelebihan yang diperolehi oleh seorang suami jika ia memiliki isteri yang solehah.
Islam menggalakkan mengahwini wanita-wanita asing daripada keluarga terdekat untuk meluaskan hubungan kekeluargaan dan mengukuhkan persaudaraan Islam. Tujuan digalak berkahwin dengan orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan supaya dapat melahirkan anak-anak yang sihat, bertenaga, cantik dan pintar.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

"janganlah kamu nikahi wanita-wanita kerabat terdekat,maka sesungguhnya anak yang bakal lahir nanti berakhlak lemah fikiran dan akal."

Rasulullah saw menyatakan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan isteri berbanding dengan janda.Rasulullah saw bersabda:

"Kahwinlah para gadis kerana sesungguhnya, mereka itu menarik tutur bahasanya, bersih rahimnya (mampu berzuriat), kurang dalihnya dan mudah meredhai kerjanya."

Rasulullah saw menekankan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan isteri kerana setiap perkahwinan berkehendakkan sesuatu hasil penguniaan anak yang soleh dan solehah.

Untuk melaksanakan tugas yang mulia ini maka perlulah seorang lelaki itu mengkaji secara terperinci terlebih dahulu bakal isterinya agar dapat melahirkan anak dan tidak ada sebarang keuzuran yang boleh menghalangnya dari mengandung dan bersalin. Bagi mengetahui sifat-sifat kesanggupan gadis itu,pada umumnya boleh dijadikan ibunya sebagai perbandingan. Seandainya ibunya mempunyai ramai anak,pada kebiasaannya gadis itu pun akan mewarisi ibunya,tetapi tidak semua tanggapan ini benar, kadang-kadang mengikut baka dirinya pula. Apabila ramai zuriat, semakin kukuhlah ummah dan teruslah tertegaknya daulah Islamiah. Membiak zuriat bertambah seri, erat dan bahagianya sebuah rumahtangga di mana wujud ketenangan jiwa hasil kasih saying antara kedua suami isteri. Rasulullah saw, begitu kuat menekankan supaya setiap lelaki memilih calun isterinya yang ramai anak, sebagaimana sabda baginda:

"Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para Nabi pada Hari Kiamat nanti."


Begitulah penekanan Rasulullah saw ke atas umatnya,baginda bangga dengan umat yang ramai kerana disitulah letaknya kekuatan agama Islam. Diharamkan seseorang lelaki memilih seseorang wanita yang telah dipinang saudaranya, kerana bererti ia menyerang hak dan menyakiti hati peminang pertama,memecah belah hubungan kekeluargaan dan mengganggu ketenteraman. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

"Orang mukmin satu dengan lainnya bersaudara, tidak boleh ia membeli barang yang sedang dibeli saudaranya,dan meminang pinangan saudaranya sebelum ia tinggalkan."

Islam juga mengutamakan wanita yang masih gadis untuk dipadankan dengan lelaki yang muda belia, sebab itulah disunatkan memilih gadis. Walau bagaimana, terdapat pula keadaan tertentu apabila janda pula menjadi yang utama. Misalnya, untuk menyelesaikan masalah perlindungan kepada janda dan anak-anak.Islam turut menghormati taraf kedudukan seseorang,sebab itulah pemilihan pasangan hidup hendaklah juga mengambil kira taraf atau sekufu. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina juga atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina tidak boleh dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina juga ataupun lelaki yang musyrik. Yang demikian itu haram terhadap orang yang beriman."

"Wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat adalah untuk wanita-wanita yang jahat, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik."



Ayat-ayat diatas sebenarnya memberi iktibar kepada kita supaya kita sentiasa muhasabah diri. Allah SWT menjadikan setiap perkara itu berpasang-pasangan. Carilah pasangan yang membawa kehidupan kita dalam keredaan Allah SWT. Setiap orang pasti ke gerbang perkahwinan. Ana juga akan mengalaminya. Jadi buatlah persediaan rapi..banyakkan buat amal…ingat Allah dan  berdoalah... …insyaAllah Allah akan ketemukan jodoh yang terbaik untuk kita…amin.. doakan ana juga ye…ana akhiri dengan sebuah video buat sahabat..


Jazakallah...

Man jadda wa jadah

Assalammualaikum

Disebalik mutiara kata “ man jadda wa jadah” ada tersurat dan tersiratnya. Cuma perlu disambung sedikit dengan “man saaro’ala ddarbi washola”. Mesti ramai sahabat ana tertanya-tanya apa sebenarnya mesej yang ana ingin sampaikan. 

 Barangsiapa bersungguh-sungguh pasti dapat, dan barangsiapa berjalan diatas jalannya pasti sampai” tulah maksud tersirat kalimat arab. Ana sebagai seorang mahasiswa hari ni rasanya perkataan tu cukup bermakna dalam kehidupan ana. Lagi-lagi musim peperiksaan, kita dapat lihat setiap mahasiswa bertukus lumus belajar dan ingin buat sebaik mungkin. InsyaAllah dengan berkat usaha yang ada, kejayaan pasti dapat dikecapi. Namun kejayaan sebenarnya bukanlah hanya sekadar usaha tetapi kejayaan itu diukir melalui kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara seperti belajar dan disertakan dengan istiqomah di jalan Allah Swt dengan sering  berdoa kepada Allah s.w.t. Dan sebaliknya apabila seseorang itu hanya berdoa tanpa sebarang usaha keras,maka susah bagi orang tersebut untuk menemui kejayaan. 

Ada orang hanya berserah dan berdoa sahaja tanpa usaha...
Ada orang hanya usaha tetapi langsung tidak terdetik ingin mengingati Allah..
Dan menyedihkan lagi ada orang berusaha demi kepentingan duniawi semata-mata...
Jadi setiap usaha yang kita lakukan mesti ingat Allah, kita lakukan niat kerana Allah. Dan insyaAllah,  Allah akan bantu lagi-lagi  jika seseorang membantu dalam agama Allah..amin
Jazalallah...

Salam Imtihan

Wednesday, October 5

Rasa Rindu Di Qalbu

Assalamualaikum..



Apabila ana hayati video ni, ana meniti setiap perkataan ditulis, tersentuh.qalbu ana.
Semakin hari, semakin mendalam cinta ana pada Allah dan kekasihnya Muhammad SAW.
Ya Allah,mengalir air mataku tatkala mngenang untungnya org yg bertemu Rasul Allah.. 
ana rindu padamu ya Rasul Allah.

Hayatilah video ini, cerita seorang sahabat tentang sahabatnya yang bermimpi bertemu dengan Rasullulah SAW. Mudah-mudahan ia memberi kesedaran untuk kita meneruskan perjuangan islam...amin
Jazakallah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sample text

Copyright 2011 @ Laman Rasmi Cikgu Amirul2u. PENAFIAN :Cikgu Amirul2u adalah tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini. Dibangunkan oleh cikguamirul@yahoo.com