Ads 468x60px

Saturday, December 24

Aku Mencintaimu Kerana Allah

Assalammualaikum...


Sering aku mendengar kata ini “Cinta”,
Bahkan mungkin sejak masih hingusan.
Tapi kata “Cinta kerana Allah”
Aku baru mendengarnya saat menapaki jinjang kuliah…
Lalu seperti apa “Cinta kerana Allah” itu?
Jika sekarang aku mengatakan
“aku mencintaimu kerana Allah”,
Apa yang membuatmu mempercayai kata-kataku?
Aku rasa bukan kerana aku menuruti semua mahumu
Dan membiarkan kau melakukan apapun yang kau suka bukan?
Bukan… aku rasa bukan itu…
Maka akan aku katakan “Aku mencintaimu kerana Allah”…
Ketika aku menyayangimu kerana akidahmu …
Ketika aku meluruskanmu kerana tak ingin kau berbelok arah …
Ketika aku mendoakanmu tanpa kau tahu …
Ketika aku berlapang dada dengan teguranmu …
Ketika aku tersenyum itu itu tanda kegembiraan untukmu …
Ketika aku sekuat tenaga tanpa jemu membantumu ..
Ketika sahutan salam menyapa saat kita bertemu …
Ketika aku begitu cepat melupakan kesalahanmu …
Ketika aku membuka lebar-lebar pintu maaf untukmu …
Ketika aku menjaga rahsiamu …
Ketika kita duduk bersama dalam pembicaraan kita selalu tertuju untuk kebaikan …
Jika Allah yang memintaku untuk mencintaimu…
Dan aku melakukannya, dengan izin Allah dan semoga hanya kerana Allah….
apa kau juga “mencintaiku kerana Allah”?
Maka aku akan selalu berharap…. dan semoga hanya kerana Allah….
Amin...
Jazakallah...

Friday, December 23

Pesanan Buat Sahabat

Assalammualaikum wbt…
Sejak akhir ini, kita sering mendengar ungkapan ini 

“cintaku kepadamu kerana ALLAH..
kasihku kepadanya kerana ALLAH..”

Agaknya kita tahu atau tidak pengertian yang kita ungkapkan? Adakah kerana untuk menyelamat atau membimbing si dia ke jalan yang diredhai Allah, atau semata-mata kerana tuntutan sunnah Rasulullah untuk berpasangan atau menyambung silaturahim..Sebenarnya ia adalah kerana agar kita termasuk diantara 7 golongan yang mendapat perlindungan di akhirat sepertimana hadith Rasulullah SAW bersabda:
 “... Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain naungan Allah; di antaranya ialah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah yang kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah... ”                                                                                   (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Rasulullah SAW berkata lagi,
Demi yang diriku ada di Tangan-Nya, tidaklah seorang hamba itu disebutkan beriman sehingga dia mencintai bagi saudaranya apa yang dia cintai bagi dirinya sendiri."
                                                                                               (Diriwayatkan AL-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya..


Apabila kita bersahabat, janganlah mengharapkan balasan atau apa-apa kebaikan dibalas oleh sahabat kita itu atas apa yang kita berikan walau sedikitpun daripadanya apabila telah terlalu banyak yang kita berikan sekalipun, kecuali mengharapkan doa, nasihat dan keikhlasannya terhadap kita. Jadilah orang yang sentiasa mengambil berat dan bertolak ansur serta mengutamakan sahabat sepertimana kita utamakan kepentingan diri kita.. tetapi bukanlah dengan paksaan atau berlebihan hingga dia lemas atau hingga kita meninggalkan kepentingan terhadap urusan kepada ALLAH (termasuk hal2 peribadi dan keluarga). Hendaklah menghormati adab dan tatasusila bersahabat atau bercinta agar diberkati ALLAH akan hubungan tersebut..dan segala kata-kata dan perbuatan kita untuk manfaat bersama selagi tidak memberikan bebanan kepada mana-mana pihak antara keduanya.
Jazakallah..

Thursday, December 22

Bingkisan Doa Seorang Hamba

Bismillahirrahmannirrahim....


Ya Allah....
Seandainya telah engkau catatkan...
Dia milikku tercipta buatku...
Satukanlah hatinya dengan hatiku...
Titipkanlah kebahagian antara kami....
agar kemesraan itu abadi...
Dan ya Allah... ya tuhanku yang maha mengasihi...
Seiringkanlah kami melayari hidup ini...
Ketepian yang sejahtera dan abadi...

Tetapi ya Allah...
Seandainya telah engkau takdirkan...
dia bukan miliku...
Bawalah ia jauh dari pandanganku....
Luputkanlah ia dari ingatanku...
Dan peliharalah aku dari kekecewaan....

Serta ya Allah ya tuhanku yang maha mengerti....
Berikanlah aku kekuatan...
Melontar bayangannya jauh ke dada langit...
Hilang bersama senja nan merah..
agarku bisa bahagia...
Walaupun tanpa bersama dengannya...

Dan ya Allah yang tercinta...
Gantillah yang telah hilang....
Tumbuhkanlah kembali yang telah patah...
Walaupun tidak sama dengan dirinya...
Ya Allah ya tuhanku...
Pasrahkanlah aku dengan takdirmu...
Sesungguhnya apa yang telah engkau takdirkan...
Adalah yang terbaik buat ku....
kerana engkau maha mengetahui...
Segala yang terbaik buat hamba Mu ini...

Ya Allah...
Cukuplah engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku...
Di dunia dan di akhirat...
Dengarlah rintihan dari hamba Mu yang daif ini...
Jangan engkau biarkan aku sendirian...
Di dunia ini mahupun di akhirat...
Menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran...
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman...
Supaya aku dan dia sama2 dapat membina Kesejahteraan hidup...
Ke jalan yang Engkau redhai...
dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh....

Amiin... Ya Rabbal A'lamin. .

Wednesday, December 21

Aku Nak Meminang Si Dia

Assalammualaikum,

Rasanya sudah lama ana tidak menulis entry. Sebelum ni ana sibuk sikit dengan program, kuliah dan pelbagai lagi. insyaAllah, dalam ruangan pada kali ini ana nak ungkap sedikit berkenaan dengan pertunangan mengikut syariat islam. Tajuk entry pun cukup bermakna bukan hanya untuk ana tetapi juga sahabat-sahabat ana. Sebelum ini juga ana pernah ditanya oleh sahabat-sahabat ana. Letih juga nak fahamkan orang kerana ana juga sedang dalam proses memahami soal pertunangan ni.


Sebelum seseorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya. Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama.

Pertama, adakah fardu ain si lelaki ´benar-benar sempurna´ kerana suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri apabila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan pelaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah, juga mengenal pasti pekerjaan lelaki berkenaan. Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya sesebuah rumah tangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik, perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja sebagai syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumah tangga.

Tidak hairanlah apabila selepas berkahwin, kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya, anak-anak tidak taat kepada ibu bapa dan isteri menjadi ´Queen Control´ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir rumah tangga menurut hukum Islam. Ibu bapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

“Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu reda terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”





Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan sama ada mahu menerimanya ataupun tidak, cuma secara beradabnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu. Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan berakhlak mulia. Bagaimanapun, jika si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak lebih baik agamanya daripada pilihan bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat anaknya itu.

Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis peminangan lagi kita mesti menjaga adab. Keberkatan Allah ini tidak dapat hendak kita gambarkan kerana hatilah yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua, namun sampai ke hari tua. Contohnya, orang pada zaman ´salafusaleh´, rumah tangga mereka berkat kerana dari awal peminangan lagi majlisnya sudah dijaga. Namun, kalau dalam majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan adab menurut Islam, sampai akhir hayat pun mungkin rumah tangga itu nampak ´tidak cantik´, tidak bahagia. Ada saja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal di rumah dan inilah yang banyak berlaku pada hari ini.

Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini. Biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah dapat kita jaga dengan baik. Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang mahal-mahal. Contohnya, pakaian, makanan, buah-buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah. Memadai dengan sebentuk cincin saja. Malah Islam tidak pernah menyusahkan penganutnya dengan cara demikian. Apabila hantaran terlalu tinggi, hilang keberkatan rumah tangga.


Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan mas kahwin, juga wang hantaran ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana mas kahwin itu memang haknya. Walau bagaimanapun, sekarang ini semua negeri sudah menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita tersebut apabila berkahwin, boleh kita terima, tetapi sekiranya wanita tersebut hendak menetapkan berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati.

Begitulah kehendak syariat. Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah s.a.w memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas kahwin yang paling baik ialah yang terendah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya.” 

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:

“Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sedikit mas kahwinnya.” 

Bersabda baginda lagi yang bermaksud:

“Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya.”

Kita patut mengetahui setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah s.a.w  itu hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumah baginda. Sesetengah daripada para sahabat berkahwin dengan mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih kurang lima dirham). Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja. Saidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis mereka. Katanya:

“Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham.”

Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan wang atau emas permata, ayat-ayat al-Quran juga boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya, ayat dalam surah Al-Fatihah atau Al-Ikhlas, tidak kiralah seberapa banyak yang dikehendaki. Bagaimanapun, apa yang dinamakan sebagai hantaran tidak wujud dalam Islam. Hantaran itu merupakan adat yang sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Ini adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan digunakan oleh pihak keluarga wanita untuk persiapan majlis perkahwinan. Jika begitu halnya, hantaran tidak patutlah diminta kepada bakal menantunya. Kecuali bakal menantu hendak memberi hantaran, boleh kita terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada hikmahnya.


Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan tunangnya agar memperkuatkan agamanya dan bersikap zuhud (bukan buang dunia, tetapi hati tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu qanaah, memadai dengan apa yang telah ada tanpa rasa tamak.
Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu tempoh yang agak lama jaraknya dengan penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari berbagai fitnah manusia.

Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang diikat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua-duaan dengan bakal isterinya.  Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti wanita itu dalam ruang yang ´aman´ daripada fitnah sosial dan kerosakan maruah. Walau bagaimanapun, pertemuan dengan tunang diharuskan sekiranya mengikut syariat.

Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya sahaja dan tidak melihat bahagian aurat tunang. Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi maklumat, menerima maklumat dan memberi nasihat.
Perbualan yang tidak berfaedah memadu kasih, berjanji mesra, bercinta asmara dan sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya. Pergaulan yang melibatkan tunang sama ada waktu melihat atau berbual hendaklah bersama muhrimnya. Dilarang melihat tunang secara bersendiri. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kita menerusi sabda baginda yang bermaksud:

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka janganlah sekali-kali menyendiri dengan seorang perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya adalah syaitan.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

“Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya.”
Allhamdulillah, mudah-mudahan dengan sedikit pengisian ini dalam menyuntik keyakinan dalam diri kita dan segala yang dilakukan dalam membina sebuah baitul muslim mendapat keredaan Allah SWT..InsyaAllah…

Jazakallah 

Saturday, December 10

Kau wanita solehah yang ku cari

Assalammualaikum...

Muslimah solehah itu berbeza,
Kerana sebelum kaki melangkah keluar pintu,
Dia bercerminkan penuh rasa malu,
Bukan bimbang dipandang tidak menarik,
Tetapi demi memastikan syariat Allah dilaksanakan dengan baik,
Kepuasan diri bukan utama,
Kepuasan Allah itu kerisauannya.


Muslimah solehah itu berbeza,
Kerana khidmat bakti cintanya untuk suami,
Bukan kerana takutkan poligami,
Bukan bimbang cinta tidak bersemi,
Tetapi semata-mata patuh pada suruhan ilahi,
Demi kasih dan cintanya kepada nabi.

Muslimah solehah itu berbeza,
Kerana walau jauh dia berada,
Walau setinggi mana jawatan digalasnya,
Tetapi hati dan jiwanya tetap kepada keluarga,
Suami dan anak-anak gelanggang pahalanya,
Menyemai sakinah dan mawaddah,
Yakin hadirnya rahmat dan barakah,
Rumah tangga bahagia,
Mencari dan terus mencari cinta ilahi.


Jazakallah

Wednesday, December 7

Menjual Sambil Berdakwah

Assalammualaikum..

Menjual itu dikira satu ibadat… Tetapi kita perlu menilai halal haramnya…ana baru saja diberi tugasan daripada pensyarah subjek Keusahawanan. Ana dikhendaki menjual 6 helai selendang saja dengan 6 warna yang berbeza. Sikit tapi cukup mencabar kerana berhadapan dengan muslimat dan bukan hanya ana saja yang menjual tetapi ramai lagi.

Alhamdulillah, dengan dibantu oleh adik ana, dapatlah ana menyusun strategi dengan baik dan berkesan. Konsep yang ana perkenalkan adalah MSB system  atau  sistem “Menjual Sambil Berdakwah”. Jika dinilai, selendang ini kurang manis jika dipakai begitu tanpa tudung labuh. Rasanya  masih kurang mengikut syariat islam kecuali yang berfikiran kreatif iaitu membuat alas meja. Jadi ana mengambil inisiatif dengan membuat label seperti di bawah:


Apa yang ana kaji, sebenarnya dalam islam tiada masalah dalam pemakaian selendang. Asalkan tidak nipis dan jarang, serta menutupi aurat mengikut syariat islam.  Yang menjadi masalah adalah individu memakainya kerana ingin menunjuk dan menarik perhatian lelaki.

Oleh itu, peranan penjual menyampaikan mesej kepada pembeli itu sangat penting. Ini juga adalah satu medium dakwah kita untuk mengembalikan cara hidup islam yang sebenar. Bukan hanya menjual sahaja tetapi sambil berdakwah. Dengan cara ini melahirkan ramai lagi “usahawan islam” yang cekap dan sistematik dalam menegakkan syiar Islam di persada dunia.
Jazakallah...

Monday, December 5

Aku Pasrah

Assalammualaikum wbt...

..... hidup umpama suatu percaturan yang harus dihadapi oleh setiap manusia… manusia akan lebih semangat dan ceria dalam hidup jika “jiwa”nya hidup..andai manusia sudah mati jiwanya..umpama dia “bangkai hidup”..

Begitu juga dengan ana..apa yang ana alami dulu hingga kini..Ana tahu itu semua ujian dariNya..namun kadang kala ana tak dapat nak fikir lebih dari itu..kadang kala ana kalah dengan emosi ana sendiri.. seolah-olah malas untuk berjuang dalam kehidupan yang sementara ini..

“Maafkanlah aku Ya Allah....
aku tidak mahu KALAH dalam percaturan hidup ini.. tabahkan diriku ini.. walau sebanyak mana dugaan yang menimpaku..aku tahu Engkau masih sayangkan diriku ini.. akan tetapi masih banyak nikmat yang masih dapat kukecapai.. nikmat iman dan keyakinan padaMu..

Mungkin Engkau mendugaku…ku tahu itu adalah ujian dariMu.. bila mengingatkan ujian atas kasih sayang manusia..aku tak terdaya..andai jodohku telah tiba, aku mohon Engkau jodohkanlah aku dengan isteri yang solehah...isteri yang bila ku pandangnya, aku sentiasa mengingatiMu..dan andainya aku tahu aku tak ada hak untuk dijodohkan dengan sesiapa yang layak denganku..aku terima Ya Allah.. mungkin ini adalah kifarah atas segala dosa-dosaku yang lampau..mungkin juga ujian untuk melihat ketabahan dan kekuatan jiwa hambaMu ini..

Tidak banyak yang ingin kupohon dariMu..
kuharap andai ini semua telah ditakdirkan untukku hadapi semasa hayat ku atas dunia ini…..
berilah aku sedikit masa dan peluang untukku membahagiakan kedua-dua insan kesayanganku.. ayahandaku dan bondaku tercinta...”
Jazakallah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Sample text

Copyright 2011 @ Laman Rasmi Cikgu Amirul2u. PENAFIAN :Cikgu Amirul2u adalah tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini. Dibangunkan oleh cikguamirul@yahoo.com