Ads 468x60px

Saturday, December 24

Aku Mencintaimu Kerana Allah

Assalammualaikum...


Sering aku mendengar kata ini “Cinta”,
Bahkan mungkin sejak masih hingusan.
Tapi kata “Cinta kerana Allah”
Aku baru mendengarnya saat menapaki jinjang kuliah…
Lalu seperti apa “Cinta kerana Allah” itu?
Jika sekarang aku mengatakan
“aku mencintaimu kerana Allah”,
Apa yang membuatmu mempercayai kata-kataku?
Aku rasa bukan kerana aku menuruti semua mahumu
Dan membiarkan kau melakukan apapun yang kau suka bukan?
Bukan… aku rasa bukan itu…
Maka akan aku katakan “Aku mencintaimu kerana Allah”…
Ketika aku menyayangimu kerana akidahmu …
Ketika aku meluruskanmu kerana tak ingin kau berbelok arah …
Ketika aku mendoakanmu tanpa kau tahu …
Ketika aku berlapang dada dengan teguranmu …
Ketika aku tersenyum itu itu tanda kegembiraan untukmu …
Ketika aku sekuat tenaga tanpa jemu membantumu ..
Ketika sahutan salam menyapa saat kita bertemu …
Ketika aku begitu cepat melupakan kesalahanmu …
Ketika aku membuka lebar-lebar pintu maaf untukmu …
Ketika aku menjaga rahsiamu …
Ketika kita duduk bersama dalam pembicaraan kita selalu tertuju untuk kebaikan …
Jika Allah yang memintaku untuk mencintaimu…
Dan aku melakukannya, dengan izin Allah dan semoga hanya kerana Allah….
apa kau juga “mencintaiku kerana Allah”?
Maka aku akan selalu berharap…. dan semoga hanya kerana Allah….
Amin...
Jazakallah...

Friday, December 23

Pesanan Buat Sahabat

Assalammualaikum wbt…
Sejak akhir ini, kita sering mendengar ungkapan ini 

“cintaku kepadamu kerana ALLAH..
kasihku kepadanya kerana ALLAH..”

Agaknya kita tahu atau tidak pengertian yang kita ungkapkan? Adakah kerana untuk menyelamat atau membimbing si dia ke jalan yang diredhai Allah, atau semata-mata kerana tuntutan sunnah Rasulullah untuk berpasangan atau menyambung silaturahim..Sebenarnya ia adalah kerana agar kita termasuk diantara 7 golongan yang mendapat perlindungan di akhirat sepertimana hadith Rasulullah SAW bersabda:
 “... Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain naungan Allah; di antaranya ialah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah yang kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah... ”                                                                                   (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Rasulullah SAW berkata lagi,
Demi yang diriku ada di Tangan-Nya, tidaklah seorang hamba itu disebutkan beriman sehingga dia mencintai bagi saudaranya apa yang dia cintai bagi dirinya sendiri."
                                                                                               (Diriwayatkan AL-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya..


Apabila kita bersahabat, janganlah mengharapkan balasan atau apa-apa kebaikan dibalas oleh sahabat kita itu atas apa yang kita berikan walau sedikitpun daripadanya apabila telah terlalu banyak yang kita berikan sekalipun, kecuali mengharapkan doa, nasihat dan keikhlasannya terhadap kita. Jadilah orang yang sentiasa mengambil berat dan bertolak ansur serta mengutamakan sahabat sepertimana kita utamakan kepentingan diri kita.. tetapi bukanlah dengan paksaan atau berlebihan hingga dia lemas atau hingga kita meninggalkan kepentingan terhadap urusan kepada ALLAH (termasuk hal2 peribadi dan keluarga). Hendaklah menghormati adab dan tatasusila bersahabat atau bercinta agar diberkati ALLAH akan hubungan tersebut..dan segala kata-kata dan perbuatan kita untuk manfaat bersama selagi tidak memberikan bebanan kepada mana-mana pihak antara keduanya.
Jazakallah..

Thursday, December 22

Bingkisan Doa Seorang Hamba

Bismillahirrahmannirrahim....


Ya Allah....
Seandainya telah engkau catatkan...
Dia milikku tercipta buatku...
Satukanlah hatinya dengan hatiku...
Titipkanlah kebahagian antara kami....
agar kemesraan itu abadi...
Dan ya Allah... ya tuhanku yang maha mengasihi...
Seiringkanlah kami melayari hidup ini...
Ketepian yang sejahtera dan abadi...

Tetapi ya Allah...
Seandainya telah engkau takdirkan...
dia bukan miliku...
Bawalah ia jauh dari pandanganku....
Luputkanlah ia dari ingatanku...
Dan peliharalah aku dari kekecewaan....

Serta ya Allah ya tuhanku yang maha mengerti....
Berikanlah aku kekuatan...
Melontar bayangannya jauh ke dada langit...
Hilang bersama senja nan merah..
agarku bisa bahagia...
Walaupun tanpa bersama dengannya...

Dan ya Allah yang tercinta...
Gantillah yang telah hilang....
Tumbuhkanlah kembali yang telah patah...
Walaupun tidak sama dengan dirinya...
Ya Allah ya tuhanku...
Pasrahkanlah aku dengan takdirmu...
Sesungguhnya apa yang telah engkau takdirkan...
Adalah yang terbaik buat ku....
kerana engkau maha mengetahui...
Segala yang terbaik buat hamba Mu ini...

Ya Allah...
Cukuplah engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku...
Di dunia dan di akhirat...
Dengarlah rintihan dari hamba Mu yang daif ini...
Jangan engkau biarkan aku sendirian...
Di dunia ini mahupun di akhirat...
Menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran...
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman...
Supaya aku dan dia sama2 dapat membina Kesejahteraan hidup...
Ke jalan yang Engkau redhai...
dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh....

Amiin... Ya Rabbal A'lamin. .

Wednesday, December 21

Aku Nak Meminang Si Dia

Assalammualaikum,

Rasanya sudah lama ana tidak menulis entry. Sebelum ni ana sibuk sikit dengan program, kuliah dan pelbagai lagi. insyaAllah, dalam ruangan pada kali ini ana nak ungkap sedikit berkenaan dengan pertunangan mengikut syariat islam. Tajuk entry pun cukup bermakna bukan hanya untuk ana tetapi juga sahabat-sahabat ana. Sebelum ini juga ana pernah ditanya oleh sahabat-sahabat ana. Letih juga nak fahamkan orang kerana ana juga sedang dalam proses memahami soal pertunangan ni.


Sebelum seseorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya. Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama.

Pertama, adakah fardu ain si lelaki ´benar-benar sempurna´ kerana suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri apabila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan pelaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah, juga mengenal pasti pekerjaan lelaki berkenaan. Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya sesebuah rumah tangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik, perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja sebagai syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumah tangga.

Tidak hairanlah apabila selepas berkahwin, kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya, anak-anak tidak taat kepada ibu bapa dan isteri menjadi ´Queen Control´ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir rumah tangga menurut hukum Islam. Ibu bapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

“Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu reda terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”





Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan sama ada mahu menerimanya ataupun tidak, cuma secara beradabnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu. Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan berakhlak mulia. Bagaimanapun, jika si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak lebih baik agamanya daripada pilihan bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat anaknya itu.

Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis peminangan lagi kita mesti menjaga adab. Keberkatan Allah ini tidak dapat hendak kita gambarkan kerana hatilah yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua, namun sampai ke hari tua. Contohnya, orang pada zaman ´salafusaleh´, rumah tangga mereka berkat kerana dari awal peminangan lagi majlisnya sudah dijaga. Namun, kalau dalam majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan adab menurut Islam, sampai akhir hayat pun mungkin rumah tangga itu nampak ´tidak cantik´, tidak bahagia. Ada saja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal di rumah dan inilah yang banyak berlaku pada hari ini.

Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini. Biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah dapat kita jaga dengan baik. Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang mahal-mahal. Contohnya, pakaian, makanan, buah-buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah. Memadai dengan sebentuk cincin saja. Malah Islam tidak pernah menyusahkan penganutnya dengan cara demikian. Apabila hantaran terlalu tinggi, hilang keberkatan rumah tangga.


Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan mas kahwin, juga wang hantaran ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana mas kahwin itu memang haknya. Walau bagaimanapun, sekarang ini semua negeri sudah menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita tersebut apabila berkahwin, boleh kita terima, tetapi sekiranya wanita tersebut hendak menetapkan berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati.

Begitulah kehendak syariat. Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah s.a.w memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas kahwin yang paling baik ialah yang terendah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya.” 

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:

“Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sedikit mas kahwinnya.” 

Bersabda baginda lagi yang bermaksud:

“Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya.”

Kita patut mengetahui setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah s.a.w  itu hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumah baginda. Sesetengah daripada para sahabat berkahwin dengan mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih kurang lima dirham). Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja. Saidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis mereka. Katanya:

“Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham.”

Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan wang atau emas permata, ayat-ayat al-Quran juga boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya, ayat dalam surah Al-Fatihah atau Al-Ikhlas, tidak kiralah seberapa banyak yang dikehendaki. Bagaimanapun, apa yang dinamakan sebagai hantaran tidak wujud dalam Islam. Hantaran itu merupakan adat yang sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Ini adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan digunakan oleh pihak keluarga wanita untuk persiapan majlis perkahwinan. Jika begitu halnya, hantaran tidak patutlah diminta kepada bakal menantunya. Kecuali bakal menantu hendak memberi hantaran, boleh kita terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada hikmahnya.


Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan tunangnya agar memperkuatkan agamanya dan bersikap zuhud (bukan buang dunia, tetapi hati tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu qanaah, memadai dengan apa yang telah ada tanpa rasa tamak.
Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu tempoh yang agak lama jaraknya dengan penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari berbagai fitnah manusia.

Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang diikat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua-duaan dengan bakal isterinya.  Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti wanita itu dalam ruang yang ´aman´ daripada fitnah sosial dan kerosakan maruah. Walau bagaimanapun, pertemuan dengan tunang diharuskan sekiranya mengikut syariat.

Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya sahaja dan tidak melihat bahagian aurat tunang. Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi maklumat, menerima maklumat dan memberi nasihat.
Perbualan yang tidak berfaedah memadu kasih, berjanji mesra, bercinta asmara dan sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya. Pergaulan yang melibatkan tunang sama ada waktu melihat atau berbual hendaklah bersama muhrimnya. Dilarang melihat tunang secara bersendiri. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kita menerusi sabda baginda yang bermaksud:

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka janganlah sekali-kali menyendiri dengan seorang perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya adalah syaitan.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

“Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya.”
Allhamdulillah, mudah-mudahan dengan sedikit pengisian ini dalam menyuntik keyakinan dalam diri kita dan segala yang dilakukan dalam membina sebuah baitul muslim mendapat keredaan Allah SWT..InsyaAllah…

Jazakallah 

Saturday, December 10

Kau wanita solehah yang ku cari

Assalammualaikum...

Muslimah solehah itu berbeza,
Kerana sebelum kaki melangkah keluar pintu,
Dia bercerminkan penuh rasa malu,
Bukan bimbang dipandang tidak menarik,
Tetapi demi memastikan syariat Allah dilaksanakan dengan baik,
Kepuasan diri bukan utama,
Kepuasan Allah itu kerisauannya.


Muslimah solehah itu berbeza,
Kerana khidmat bakti cintanya untuk suami,
Bukan kerana takutkan poligami,
Bukan bimbang cinta tidak bersemi,
Tetapi semata-mata patuh pada suruhan ilahi,
Demi kasih dan cintanya kepada nabi.

Muslimah solehah itu berbeza,
Kerana walau jauh dia berada,
Walau setinggi mana jawatan digalasnya,
Tetapi hati dan jiwanya tetap kepada keluarga,
Suami dan anak-anak gelanggang pahalanya,
Menyemai sakinah dan mawaddah,
Yakin hadirnya rahmat dan barakah,
Rumah tangga bahagia,
Mencari dan terus mencari cinta ilahi.


Jazakallah

Wednesday, December 7

Menjual Sambil Berdakwah

Assalammualaikum..

Menjual itu dikira satu ibadat… Tetapi kita perlu menilai halal haramnya…ana baru saja diberi tugasan daripada pensyarah subjek Keusahawanan. Ana dikhendaki menjual 6 helai selendang saja dengan 6 warna yang berbeza. Sikit tapi cukup mencabar kerana berhadapan dengan muslimat dan bukan hanya ana saja yang menjual tetapi ramai lagi.

Alhamdulillah, dengan dibantu oleh adik ana, dapatlah ana menyusun strategi dengan baik dan berkesan. Konsep yang ana perkenalkan adalah MSB system  atau  sistem “Menjual Sambil Berdakwah”. Jika dinilai, selendang ini kurang manis jika dipakai begitu tanpa tudung labuh. Rasanya  masih kurang mengikut syariat islam kecuali yang berfikiran kreatif iaitu membuat alas meja. Jadi ana mengambil inisiatif dengan membuat label seperti di bawah:


Apa yang ana kaji, sebenarnya dalam islam tiada masalah dalam pemakaian selendang. Asalkan tidak nipis dan jarang, serta menutupi aurat mengikut syariat islam.  Yang menjadi masalah adalah individu memakainya kerana ingin menunjuk dan menarik perhatian lelaki.

Oleh itu, peranan penjual menyampaikan mesej kepada pembeli itu sangat penting. Ini juga adalah satu medium dakwah kita untuk mengembalikan cara hidup islam yang sebenar. Bukan hanya menjual sahaja tetapi sambil berdakwah. Dengan cara ini melahirkan ramai lagi “usahawan islam” yang cekap dan sistematik dalam menegakkan syiar Islam di persada dunia.
Jazakallah...

Monday, December 5

Aku Pasrah

Assalammualaikum wbt...

..... hidup umpama suatu percaturan yang harus dihadapi oleh setiap manusia… manusia akan lebih semangat dan ceria dalam hidup jika “jiwa”nya hidup..andai manusia sudah mati jiwanya..umpama dia “bangkai hidup”..

Begitu juga dengan ana..apa yang ana alami dulu hingga kini..Ana tahu itu semua ujian dariNya..namun kadang kala ana tak dapat nak fikir lebih dari itu..kadang kala ana kalah dengan emosi ana sendiri.. seolah-olah malas untuk berjuang dalam kehidupan yang sementara ini..

“Maafkanlah aku Ya Allah....
aku tidak mahu KALAH dalam percaturan hidup ini.. tabahkan diriku ini.. walau sebanyak mana dugaan yang menimpaku..aku tahu Engkau masih sayangkan diriku ini.. akan tetapi masih banyak nikmat yang masih dapat kukecapai.. nikmat iman dan keyakinan padaMu..

Mungkin Engkau mendugaku…ku tahu itu adalah ujian dariMu.. bila mengingatkan ujian atas kasih sayang manusia..aku tak terdaya..andai jodohku telah tiba, aku mohon Engkau jodohkanlah aku dengan isteri yang solehah...isteri yang bila ku pandangnya, aku sentiasa mengingatiMu..dan andainya aku tahu aku tak ada hak untuk dijodohkan dengan sesiapa yang layak denganku..aku terima Ya Allah.. mungkin ini adalah kifarah atas segala dosa-dosaku yang lampau..mungkin juga ujian untuk melihat ketabahan dan kekuatan jiwa hambaMu ini..

Tidak banyak yang ingin kupohon dariMu..
kuharap andai ini semua telah ditakdirkan untukku hadapi semasa hayat ku atas dunia ini…..
berilah aku sedikit masa dan peluang untukku membahagiakan kedua-dua insan kesayanganku.. ayahandaku dan bondaku tercinta...”
Jazakallah

Saturday, November 26

Marah Bukan Penyelesaian


Marah di dalam hati, marahlah semahunya. Kadangkala tidak mampu diungkapkan dengan kata. Bukan mudah untuk meluahkan rasa hati ini kerana terlalu ingin menjaga hati insan tercinta. Mungkin sudah terbiasa memendam perasaan. Ana lebih rela memendamkannya jauh ke dalam tasik hati daripada menimbulkan pertelingkahan dengan seseorang.

Dalam menghentikan rasa amarah ini, Ana terfikir sejenak, tidakkah perbuatan memendam rasa ini akan menjadi penyakit di lain masa nanti? Ana tidak boleh marah? Ana keliru sendiri. Mengapa harus ada perasaan marah itu? Alangkah bahagianya jika tiada perasaan marah. Tapi keliru semula. Apakah lengkap diri kita tanpa ada perasaan marah? Adakah dunia ini akan jadi aman tanpa perasaan marah? Ana pun tertanya sendiri.

Bila diamati semula, punca pertelingkahan ini atas sebab yang agak remeh-temeh. Tapi entah bagaimana seperti ditiupkan lagi api kemarahan ini apabila kita saling ego dan tidak mahu mengalah dengan menuding jari tentang siapa salah. Pokok pangkalnya, cuma yang ana mahu adalah "bahagia", gembira sentiasa, merasa aman dan tenteram selalu. Tapi ada waktunya, perasaan insan lemah dan tidak berdaya seperti ana ini akan sentiasa berubah-ubah.

“Ya Allah, jauhkan aku daripada sifat ego, marah hasad dengki dan perkara yang engkau tidak sukai  Jadikan aku anak yang soleh, yang sentiasa berbakti kepada ibu bapa. Jika aku seorang suami,  jadikanlah aku suami yang mithali, yang sentiasa taat perintah Allah agar dapat membina rumah tangga yang bahagia didunia dan akhirat.”

Jazakallah

Monday, November 21

Jom Bersih !!

Assalammualaikum..


Bersyukurlah kita kepada Allah swt kerana Allah swt sentiasa memberi peluang untuk kita meneruskan kehidupan kita sebagai khalifah di muka bumi yang fana ini..alhamdulillah..selepas saja ana meninggalkan kerjaya ana buat seketika,ana melangkah ke tempat belajar ana dengan azam dan tekad yang baru. Kini ana menginap di asrama atau rumah yang disediakan oleh pihak universiti. Tidak mungkin apabila dapat kunci rumah saja terus dah boleh duduk. Jadi sudah pun dalam perancangan ana bersama ahli baru ana untuk sama gotong-royong membersihkan rumah...dengan ini bukan saja rumah je bersih…ukhwah pun makin erat dan insyaAllah jadi sebuah keluarga yang bahagia ..alhamdulillah...berjaya juga misi ana...kita hanya merancang Allah saja menentukannya...


ni baru saja basuh rumah..


kerusi dan meja tersusun rapi di tepi


Jazakallah..

Saturday, November 19

Kenangan Yang Berbekas

Assalammualaikum.



Alhamdulillah, ana bersyukur kepada Allah SWT yang maha tinggi dan tiada kuasa yang boleh menandingiNya, yang menentukan takdir setiap hambanya. Jumaat lepas merupakan hari terakhir ana berkhidmat di SMKSKP. Baru saja genap sebulan ana berkhidmat..baru rasa cinta nak semai..dah kena pulang ke UPSI semula..ini  satu suratan bagi ana..apa-apa pun ana banyak berterima kasih kepada pengetua SMKSKP,Pn Ang Wee Wee dan semua barisan pendidik SMKSKP kerana sudi menerima ana berkhimat di SMKSKP. Tidak lupa juga kepada anak-anak didik ana 1KP,1Best, 1A2,1A3,2Best,2A5 dan 4PD, walaupun baru saja kenal-kenal, tetap dalam ingatan.insyaAllah..Teruskan belajar dengan bersungguh-sungguh, taburlah sebanyak mungkin jasa di SMKSKP, InsyaAllah, jika ada kesempatan kita berjumpa lagi..  









Jazakallah

Monday, November 14

Bila Aku Nak Bercinta?

Assalammualaikum,

Mana mungkin seorang murabbi atau guru ingin menghampakan anak muridnya. Begitu juga dengan ana. Sejak kebelakangan ini, ana dihujani pelbagai soalan berkaitan dengan cinta dan kahwin daripada pelajar ana. Tidak mungkin ana hanya berdiam sahaja atau membiarkan anak murid ana mencari jawapan sendiri sedangkan yang ditanya itu adalah ana. Dalam buku teks Pendidikan Islam Tingkatan 5 ada menerangkan mengenai perkahwinan. Tetapi yang menjadi persoalan pelajar ana, bolehkah kita bercinta sebelum kahwin? Atau kita perlu tunggu selepas kahwin barulah nak bercinta? Macam mana pula nak berkahwin jika tidak bercinta? Tak kenal Maka tak cinta? Oleh itu ana membahagikan kepada 3 situasi yang juga ana bersumberkan daripada seorang ustaz di Pulau Pinang.

Cinta SEBELUM KAHWIN

Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa, peribadi, minat dan cara hidup.

Ada kalanya cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan pergaulan harian.

Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam, kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah maksiat dan kelalaian dalam percintaan.

Walau bagaimanapun, jika percintaan itu mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa pencinta itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara perkara-perkara berikut:

  1. Menghormati maruah dan harga diri masing-masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang yang ketiga adalah syaitan.
  2. Di samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih. Sebaik-baiknya sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa yang mengawasi tingkah laku mereka.
  3. Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta itu.
  4. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak dan ajaran agama semasa bercinta.
  5. Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredai dan diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.
  6. Sentiasa melakukan solat Istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya, tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya.
  7. Solat istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaannya itu untuk mendirikan rumah tangga yang terpelihara.
  8. Sekiranya dia bercinta tanpa niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.
Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan.

Sebagai hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak.

Tetapi sebaliknya, apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.



Cinta SELEPAS BERTUNANG

Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin. Bertunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk berkahwin.
Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan.
Orang yang bertunang dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran.

Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan.

Bertunang tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalalkan segala perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan tempoh memadu asrama. Maka orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’ untuk bersentuhan, berciuman dan sebagainya.

Pihak lelaki perlu menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak perempuan belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan cinta yang terbina.




Cinta SELEPAS KAHWIN

Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Qur’an ayat-21 surah Ar-Rum,

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakanNya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran” (Ar-Rum, Ayat 21)

Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat.

Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:

1. Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina.
Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan janji yang dibuat.

2. Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain.
Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.

3. Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik mungkin.

Sesekali, hadiah dapat dijadikan penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.

Menjaga batas-batas pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan pergaulan mereka seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan.

Mereka harus sedar dan berasa malu kerana mereka masih belum mempunyai sebarang hak ke atas satu sama lain.

Renung-renungkanlah. Mudah-mudahan sedikit sebanyak coretan penjelasan di atas bermanfaat untuk anda semua

Jazakallah…

Daripada aku dan dia

Saturday, October 29

Bukti cintaku padaMu

Assalammualaikum wbt..

Sebagaimana yang kita tahu, setiap percintaan kita semuanya mesti didahului dengan cinta Allah. Tidak kiralah dengan siapa kita cinta asalkan kita kejar cinta pertama dan selamanya ini bagi menggapai keindahan kehidupan dalam keredaan. Jika sebelum ini ana berkongsi mengenai cinta sesama manusia, dalam ruangan yang ada ini ana nak berkongsi pula mengenai cinta kita yang agung dan kekal selama-lamanya iaitu cinta seorang hamba akan pencipta-Nya, Allah swt..Persoalan yang timbul bagaimana kita nak mengenal pasti sejauh mana kita meletakkan Allah swt menempati cinta paling utama dihati kita..marilah sama-sama kita muhasabah diri dengan apa yang ana petik daripada majalah kegemaran ana, Solusi ruangan karya Fatimah Syarha Mohd Noordin.

1 . Segera menyahut call daripada-Nya
“Allahuakbar! Allahuakbar!” , panggilan azan berkumandang. Rasanya dimana kita pada masa itu. Adakah kita masih di kerusi dan meja belajar sedang sibuk study untuk exam? Atau adakah kita sedang kusyuk menonton perlawanan bola sepak? Nilailah tahap mana cinta kita pada Allah berbanding perkara-perkara lain.

2. Memberi perhatian pada sms dan e-mail daripada-Nya
Wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah melalui perantaraan Malaikat Jibril iaitu AL-Quran hari ini di mana-mana ada. Adakah kita sentiasa membaca dan menghayati setiap ayat-Nya? Adakah kita mengadaptasikan kandungannya dalam kehidupan kita? Jadi jika benar cinta kita pada Allah, cintalah kalamnya. Baca dan fahamilah setiap ayat-ayat-Nya.

3. Memandang MMS-Nya selalu
Kita memang tidak dapat melihat zat Allah yang maha tinggi. Akan tetapi Allah swt sudah pun menghantar MMS kepada kita iaitu “kebesaran-Nya”. Lihatlah setiap penciptaan-Nya yang unik dan mempersonakan. Tiada sesiapa pun yang boleh menandingi-Nya. Saban waktu kita memandang-Nya, makin kerap menjengah qalbu tanda semarak cinta kita pada-Nya.

4. Rasa malu-malu saat berdating dengan-Nya
Tatkala  kita bertembung mata dengan seseorang yang kita cintai biasanya hanya terdaya memandang sebentar atau sepintas lalu sahaja. Mengapa ye?  Jawapannya mudah sahaja kerana dorongan rasa malu. Maka lahirlah cinta pandang pertama. Kita lihat pula saat berdating kali pertama selepas nikah pula. Kita cukup jaga tingkahlaku atau pergerakan kita.  Begitu juga sewaktu nak solat. Saat solat itu ialah saat kita berdating, yakni saat kita bersendirian dengan Allah swt. Jika kita benar-benar cinta akan Allah, setiap pergerakan solat kita jaga. Bukan hanya itu sahaja, malah kita mesti rasa malu jika nak buat perkara-perkara yang tidak disukai. Sama-samalah kita jaga rasa malu pada-Nya bukti cinta kita pada-Nya.

5. Sentiasa rindu dan ingat pada-Nya
Jika benar Allah swt adalah cinta teragung kita, maka hanya Allah sahajalah seharusnya kita rindui. Rindu pada Allah swt terubat tatkala kita hadir majlis ilmu yang mentauhidkan Allah swt.Rindu pada Allah terbias pada rindu kita akan AL-Quran, tahajud, orang soleh dan kebenaran.

6. Banyak menyebut nama-Nya
Jika kita cinta akan Allah swt, apa kata kita sama-sama jadikan Allah swt dalam setiap perbualan kita. Ingin berbicara apa-apa topik sekali pun, pasti Allah tidak lekang dibibir. Contohnya “InsyaAllah,jika Allah izinkan, kita berjaya juga dalam ujian ni” “Dia mengumpat saya? Tidak mengapa, Allah ada dan Allah akan bela saya.” Beruntunglah orang yang sentiasa mengingati Allah bukan hanya dikala susah sahaja. Jika kita ingat Allah, Allah akan sentiasa mengingati kita, insyaAllah.

7. Bersabar menghadapi ujian-Nya
Lumrah percintaan pasti akan ada ujian. Ujian itu dapat menilai sedalam mana cinta kita pada-Nya. Kita juga boleh menilai sejauh mana kesabaran dan ketabahan kita dalam menghadapi ujian-Nya. Kita belum lagi diuji dengan dihujani batu, dipulau sanak saudara atau dicaci sebagaimana yang Rasulullah hadapi dalam menegakkan syiar Islam. Usahlah kita mengharapkan hidup kita tiada ujian. Usahlah kita meminta ujian besar. Berdoalah agar Allah swt memberi kekuatan dan ketabahan kepada kita agar terus istiqamah dalam menghadapi segala ujian daripada-Nya. Apa yang perlu kita ingat bahawa Allah swt sengaja menguji kita untuk mengenal pasti siapa yang benar-benar mencintai-Nya.   

8. Mencintai segala sesuatu yang berkaitan dengan-Nya
Sebenarnya apa-apa sahaja yang berkaitan dengan orang yang kita cintai pastinya menjadi debaran bagi kita. Itulah lumrah bercinta. Apa bukti kita terpikat dengan cinta Allah? Sudah tentu kita perkara yang kita cintai berkait dengan Allah. Inilah bukti cinta kita semakin akrab dengan-Nya. Contoh seorang hamba yang merindui Kaabah. Kaabah itu Rumah Allah. Maka Kaabah juga dirasakan istimewa. Itulah bukti cinta kita kepada-Nya. Jika kita masih belum merindui Kaabah, manfaatkanlah rumah-rumah Allah yang terdapat di sekeliling kita. Jangan sunyikan surau dan masjid. Itu juga bukti cinta kita pada Allah swt.

9. Luapan perasaan luar biasa
Allah swt berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman ialah disebut nama Allah, akan gementar hati mereka, apabila dibacakan ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakal.” (surah AL-Anfal). Mendapatkan khusyuk bukanlah mudah tetapi kita masih boleh mendapatkannya. Berusahalah yang terbaik demi mendapatkan cinta kita dengan ALLAH swt. insyaAllah.

10. Rasa Cemburu
Cemburu dan cinta itu tidak dapat dipisahkan. Tanda kita cinta  pada Allah di mana kita cemburu apabila ada orang yang lebih mencintai kekasih kita.Ini cemburu positif bukan cemburu fitnah. Cemburulah kepada ulama, orang yang berilmu, dan orang yang lebih banyak beramal. Bukan cemburu yang sia-sia tetapi cinta dalam rangka untuk mencontohi mereka. Misalnya dalam solat, cemburulah orang yang solatnya diawal waktu, sentiasa menjaga setiap perbuatan dalam solatnya, secara berjemaah dan lebih kusyuk kerana dia lebih mendapat perhatian daripada Allah SWT.

11. Berusaha keras meraih reda-Nya
Bukti kita mencintai Allah swt ialah apabila kita sanggup berkorban melakukan apa-apa sahaja demi menggapai reda Allah swt. Menurut Ibnu Qayyim AL- Jawziyah, ada tiga kondisi dalam percintaan iaitu:
1.Berat hati  untuk mencintai tetapi dia memaksa dirinya,
2.Cinta makin menguat dan dia patuh,
3.Cinta menetap dihati dan dia sanggup mengorbankan apa sahaja.


Jadi dimana tahap cinta kita pada Allah swt sebenarnya? Muhasabahlah diri. Bangkitlah bagi menggapai cinta hakiki, cinta yang tiada tolok bandingnya. Dan ingatlah, tanpa cinta Allah, tiada cinta sesama manusia.

jazakallah

Friday, October 28

Pengalaman Satu Ibadah

Assalammualaikum wbt...



Jadilah manusia yang sentiasa bersabar..Alhamdulillah..lama sungguh ana menunggu detik sebegini. Maklumlah apabila pulang ke kampung halaman ni suasana agak berbeza sedikit..maksud ana tidak setiap hari ana boleh post entry di blog ni sebab tiada wifi. Jadi nak post apa-apa entry kena lah tangguh dulu.. lagi-lagi ana ni tidak minat sangat pergi Cyber cafe (Cc)..so, kenalah sabar.. semua tu ujian Allah nak uji kesabaran hambanya..Ok, sebagaimana yang ana janjikan..entry kali ni ana nak berkongsi mengenai pengalaman ana mengajar pada cuti semester...

Sehari sebelum ana ambil exam bagi subjek biologi dan kimia, ana dapat tawaran mengajar sekolah menengah daripada pihak PPD tempat ana melalui telifon. Pada mulanya ana rasa nak tolak je tawaran tu sebab ana dulu ajar sekolah rendah..tak pernah pula ana ajar sekolah menengah..tapi ana fikir ni rezeki daripada Allah dan mungkin ada hikmahnya ana mengajar ni..boleh jadikan sebagai pengalaman lagi..ana setuju aje.. ni kira kali ketiga ana mengajar..alhamdulillah..

Ana bertolak pulang ke kampung ana pada hari ahad dan pada keesokan harinya ana terus melaporkan diri sebagai tenaga pengajar di sekolah tersebut..rasa letih juga hari tu maklumlah rehat beberapa jam sahaja di rumah..dan rasa gemuruh juga apabila pertama kali jejak kaki di sekolah tu..tapi ana ingat lagi pesan ummi ana, “jika rasa gemuruh atau berdebar baca  YA HAYYU, YA QAYYUM.. insyaAllah, akan rasa confident semula pada diri kita”..Alhamdulillah, ana berjaya menyesuaikan diri.

Sudah menjadi kebiasaan setiap sekolah jika hari isnin mesti ada perhimpunan. Begitu juga dengan sekolah ana..semua guru kena duduk di atas pentas termasuklah ana..pada masa tu ana duduk dibahagian hadapan sekali dan pelbagai ragam ana lihat..Semua mata-mata pelajar ada kalanya tertumpu pada ana..maklumlah “cikgu baru” katakan…

Ana diamanahkan mengajar B. Melayu bagi tingkatan empat, Geografi bagi semua tingkatan 1 dan P.Seni bagi tingkatan satu dan dua termasuklah Kelas Peralihan..err pelik..ambil opsyen sains tapi tak ajar sains..reda jelah.. lagi pun mengajar sekolah menengah ni agak berbeza sedikit dengan sekolah rendah.. yelah jika sekolah rendah tu murid ibarat anak-anak kita tapi sekolah menengah ni kita jadikan pelajar macam kawan je..guru ana pernah cakap “ Nak jadi guru ni sebenarnya tak susah sangat cuma kamu perlu memahami rentak pemikiran dorang dan jangan pilih kasih..” ana ingat lagi pesan cikgu Ramli.



Hari pertama ana masuk ke kelas, ana interview seorang demi seorang pelajar. Ada pelajar yang ingat ana Pegawai Jabatan Agama Islam lah..Ustaz lah.. macam-macam..tulah yang ana dengar yang beri salam “assalamualaikum bang..” ana jawab je salam…sekali dapat tau ana cikgu, terkejut dia..huhuh…ada juga pelajar-pelajar yang nakal..tapi alhamdulillah, ana masih boleh mengawal..marah pun kena kawal..sebab ana dapat rasa macam mana perasaan ana dulu jika kena marah..jika ana marah pun lepas tu ana cepat-cepat reda semula..tak adalah sampai nak belasah atau pukul pelajar kerana ana tau setiap apa yang kita buat ni semuaya ibadat dan dapat balasan daripada Allah SWT...oleh itu,  jadikan doa itu senjata kita… jadi kita doalah pada Allah mudah-mudahan pelajar tu hijrah menjadi pelajar yang baik dan sentiasa dengar arahan kita....insyaAllah…

Satu lagi masalah guru-guru kita hari ini khususnya guru muslim jika mengajar contohnya subjek Sains, guru tu hanya mengajar sains semata-mata..tidak kaitkan dengan islam..jadi ana berharap sahabat-sahabat ana yang bakal menjadi pendidik, kita buat satu perubahan pada sistem pendidikan negara kita.. jika kita jadi guru subjek sains, sambil-sambil kita cerita apa kaitan sains dan islam... daripada mana datangnya ilmu sains ni..

Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, sesungguhnya semua ilmu yang ada kat muka bumi ni semuanya ilmu Allah..semuanya milik Allah..dan jangan lupa dakwah kita dalam islam ni tiada noktah..tiada titik perhentiannya…tetap diteruskan selagi mana kita hidup..insyaAllah..

Jazakallah…


Saturday, October 15

Sebulan Bagai Setahun

Assalammualaikum..

Selama dua minggu ana peperiksaan, pelbagai rintangan, dugaan ana tempuhi. Tidur tak lena...makan pun dah jarang.. Sebagaimana kata sahabat ana, ni bukanlah peperiksaan semata-mata. Ia juga sama seperti ujian hidup. Mesti ada senang dan susah. Kehidupan kita ni bagaikan roda kadangkala kita berada diatas dan kadangkala dibawah pula. Semuanya Allah nak uji sejauh mana kesabaran dan iman kita..


Alhamdulilah,akhirnya abez juga peperiksaan ana..Tinggal kita tawakal dan berdoa kepada Allah "Ya Allah, aku berserah kepada Mu setelah aku berusaha mengharungi ujian ini ya Allah, Lembutkanlah hati pensyarah yang menanda kertas kami ya Allah, Sempurnakanlah hajat kami memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini ya Allah, dan mudahkanlah langkah kami menuju ke semester akan datang dengan keredaan Mu ya Allah. Amin...


Kini ana berada dipenghujung semester..Ramai sahabat-sahabat seperjuangan ana dah pun balik ke kampung masing-masing. Cuti sebulan bagaikan setahun. Rasanya berat hati nak berpisah dengan sahabat ana walaupun sekejap. Selalunyakan bersama-sama, belajar bersama-sama, makan bersama-sama...semuanya bersama-samalah. Kini semuanya pulang dipangkuan keluarga masing-masing. Ana tetap doakan mudah-mudahan sahabat ana sihat walafiat disamping keluarga tersayang.

Cuti sebulan tidak bermakna rehat sahaja di rumah. Sahabat-sahabat ana ramai yang bekerja. Bagi ana sebagai pelajar UPSI, ana kembali ke kerjaya ana dulu..Cuma lebih mencabar sikit..kalau dulu berhadapan murid sekolah rendah kali ni sekolah menengah pula..huh..semoga Allah mempermudah segala urusan ana..amin..nak tau lebih lanjut lagi nantikan sahajalah entry ana akan datang.. insyaAllah


Jazakallah…

Sunday, October 9

Kamu Wanita Seribu Makna

Assalammualaikum…


Kaifahaluk?..alhamdulillah mudah-mudahan sahabat ana semua sihat-sihat sahaja. Walaupun ana kini masih berada di suasana exam, tapi insyaAllah ana akan cuba untuk berkongsi apa-apa ilmiah untuk sahabat-sahabat ana. Jika entry yang lepas ana berkongsi tentang bagaimana memilih pasangan hidup menurut islam. Entry kali ni ana nak cerita sedikit tentang keunikkan atau keistimewaan penciptaan wanita.


Sebagaimana yang semua orang tahu, kejadian wanita memang cukup unik. Saban waktu hidup wanita juga digambarkan bak bunga yang mekar mewangi di taman. Kelembutan, kecantikan dan kebaikan mereka selalu di dambakan oleh kaum lelaki kerana mereka ialah mahluk ciptaan Allah swt yang istimewa. Jika Adam dijadikan daripada inti pati tanah tetapi Hawa tidak dijadikan dari tanah. Ia dijadikan daripada sebahagian dari anggota tubuh Adam iaitu tulang rusuk Nabi Adam. Mereka dikahwinkan walaupun dari asal-usul kejadian yang berbeza. MasyaAllah, hebatkan ciptaan Allah. 

Akal mungkin menganggap alangkah baiknya jika kedua-dua Adam dan Hawa dari kejadian yang sama iaitu tanah. Jika mereka sejenis barulah padan jika dijodohkan. Begitulah pemikiran akal manusia. Dalam Islam, ia sebenarnya terkandung satu hikmah yang besar disebalik penciptaan wanita bagi menerangkan tentang peranan wanita itu sendiri.

Jika Allah SWT jadikan Adam dan Hawa daripada tanah, semestinya tanah itu sendiri berlainan jenis. Walaupun tanah menjadi perhubungan di antara Adam dan Hawa, namun ikatan itu tidak kuat. Ia seolah-olah menyatukan kedua makhluk yang berlainan. Jika mereka dari kejadian yang sama kemudian dikahwinkan, mereka seperti sahabat biasa sahaja. Sahabat biasa bukan teman yang istimewa. Jika hendak berpisah memang mudah.


Itulah di antara sebab Allah SWT tidak ciptakan Hawa dari tanah seperti Adam. Allah cipta Hawa dari diri Adam sendiri iaitu dari tulang rusuknya. Hakikatnya , rohaniah, perasaan dan fizikal mereka seolah-olah dari satu jasad yang sama. Di sinilah perkongsian suami isteri itu bermula.Barulah perkongsian suami isteri itu di anggap sebagai teman setia, sehidup, semati, seperjuangan dan yang paling baik bekerjasama. Pasangan suami isteri itu tidak sempurna jika tidak ada bersama-sama. Ia bukan sahaja menyempurnakan dari sudut biologi tetapi juga dari sudut menjaga anak, berjuang dan berjihad. Jika ada isteri sahaja dalam pengurusan rumahtangga, belum sempurna lagi penyusunan rumahtangga itu. Kedua-duanya mesti ada barulah sempurna.



Menurut Islam, rumahtangga seolah-olah satu bahagian di bahagi kepada dua. Ia bukan berasal dari dua keluarga yang disatukan.Dalam Islam hendak pisahkan sangat susah kecuali jika terdesak. Umpama satu badan, bukan senang hendak potong sebahagian anggota lain. Anggota itu adalah pelengkap kepada badan tersebut. Tanpa salah satu dari anggota itu, ia dikatakan cacat. Jika pasangan suami isteri dikatakan sebagai kawan, tidaklah memadai kerana peranan suami isteri terlalu banyak. Bahkan ia lebih dari hubungan seorang kawan. 

Peranan suami isteri itulah sahabat, pembantu, penghibur, penasihat, kawan seperjuangan. Bila susah sama-sama susah dan bila senang sama-sama senang. Ikatan yang banyak ini sudah cukup kuat bagi pasangan suami isteri. Ia tidak mudah terungkai. Kalau peranan suami isteri itu banyak dan hanya satu yang terungkai, ada ikatan lain yang masih boleh mengukuhkan itu banyak. Kalau ikatannya satu sahaja iaitu sebagai kawan tidak cukup. Ikatan itu mudah terungkai. Kalau banyak peranan, hanya satu yang terungkai, masih ada ikatan lain yang boleh mengukuhkan hubungan suami isteri itu. Itulah hikmah Hawa tidak dijadikan dari tanah tetapi daripada satu juzuk badan Adam. Ia seolah-olah senyawa dan saling memerlukan di antara satu sama lain dalam semua hal seperti cari rezeki, jaga anak, mengatur perjuangan, mencari ilmu. Itulah hikmah kejadian wanita.

Tambahan pula jika pasangan suami isteri itu dididik dengan agama. Ikatan suami isteri itu bertambah memberi makna. Di waktu muda, pasangan suami isteri banyak membuat hubungan biologi. Inilah yang mengerat hubungan suami isteri. Tetapi jika sudah lanjut usia, hubungan biologi sudah kurang. Agamalah yang menguatkan hubungan suami isteri. Allah menuntut pasangan suami isteri dengan tuntutan-tuntutan yang mesti ditunaikan oleh kedua belah pihak demi untuk menjaga hak-hak masing-masing dalam sistem kekeluargaan.

Agama banyak mengajar pasangan manusia saling berbuat baik di antara satu lain. Ini menimbulkan perasaan kasih sayang yang mendalam sekalipun, hubungan biologi sudah kurang. Agama merapatkan hubungan suami isteri. Perkahwinan itu betul-betul dibina di atas rasa yang suci murni. Ia seolah olah kembali kepada waktu manusia itu dicipta ketika zaman Adam dan Hawa yang berasal dari satu juzuk diri Adam. Mereka adalah dari satu badan.




Tanpa agama, akan hilanglah ikatan kasih sayang suami isteri kerana hubungan biologi yang sudah hambar . Kalau tidak dididik dengan agama dan tidak ada ikatan biologi yang kuat, ia akan menjarakkan pasangan tersebut. Semakin tua semakin jauh. Kadang-kadang duduk serumah tetapi dua tiga hari tidak berjumpa. Ada dan tidak ada sama sahaja. Tetapi kalau orang dididik dengan agama tidak berlaku demikian. Itulah hikmahnya Tuhan tidak jadikan kedua-duanya dari tanah. Ia dua perkara berbeza iaitu tanah dan tulang rusuk tetapi satu nyawa dari tubuh badan Nabi Adam. Seolah-olah apa perasaan Adam itulah perasaan Hawa. Kalau apa perasaan Hawa itulah perasaan Adam.

Kita sebagai manusia seharusnya peka dan berfikiran luas. Setiap perkara yang Allah SWT jadikan itu, semuanya perkara yang baik. Manusia hanya perlu ikut syariat sahaja yang Allah sudah tetapkan. Syariatlah yang akan menjadikan pasangan suami isteri sentiasa dalam keadaan yang romantis dan harmoni serta mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat sekalipun sudah tua usia perkahwinannya . Inilah hikmah kejadian manusia. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam reda Allah SWT..Amin…
Jazakallah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Sample text

Copyright 2011 @ Laman Rasmi Cikgu Amirul2u. PENAFIAN :Cikgu Amirul2u adalah tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini. Dibangunkan oleh cikguamirul@yahoo.com