Ads 468x60px

Sunday, December 23

MATA KECILKU


Kau buat mataku kecil
Kau buat badanku besar
Kau sayangkan aku

Kau buatku serba kekurangan
Supaya aku berusaha mencari kejayaan
Kemudian kau limpahkan dgn kesenangan
Kau sayangkan aku

Aku leka dengan hidup dunia
Tiada syukur tersemat didada
Hari hari bergelumang dosa
perhubungan kita tidak ku jaga
seperti seorang anak tak mengenang jasa
Kau sayangkan aku

Aku yg sudah hanyut jiwaku
Rasa tak layak lagi bersamaMu
Sangkaku tertutup sudah pintu kemaafanMu
kerana ke-alpaan diriku
Kerana kebodohan diriku
kerana keangkuhan diriku
Kerana ku butakan mata kecilku
"Masihkah Kau sayangkan Aku?"

f16 Israel membedil Gaza
Kau sayangkan aku

Bom Bom Israel mencari Syuhada
Kesengsaraan di tanah Gaza
Kehancuran merata- rata
Kezaliman yg tak terkata
Kau sayangkan aku

Kemanusiaan membawaku ke sana
Kau permudahkan segala cara
Walaupun debar menggoncang dada
Kau beri ku kekuatan minda
Selamat perjalananku ke Gaza
Agar akhirnya dapat ku guna
Mata yang lama tak bercahaya
Kerana hanya mengejar dunia
Kau Sayangkan aku

Mataku melihat, runtun hatiku
bukan kerana kematian dan kesusahan di situ
Gaza tanah barakahMU
walaupun semuanya kelabu
Dipenuhi oleh kekasih-kekasihMU
Yang tidak pernah menyoal cintaMU
Yang tak pernah menyalahkanMU
Walaupun apa saja kesusahan yang kau beri
Kesyukuran tak pernah meninggalkan hati
Semua kekasih kekasihMU itu merindui
Bersamamu di Jannah nanti

Air mata berlinangan dari mata kecilku
Melihat Ketenangan wajah kekasihMU
Melihat Keberanian jiwa kekasihMU
Melihat keredhaan hati kekasihMU
Melihat ketaqwaan hidup kekasihMU

Senyum kekasihMU penuh cahaya
Senyun terukir walaupun duka
Senyum di beri tak memilih siapa
Senyum penuh kesyukuran padaNYA

AKu terduduk, terdiam melihatnya
Mata aku berkelip tidak percaya,
tidak pernah aku melihat sepertinya
Adakah aku dibumi nyata
ataupun menghampiri ahli-ahli syurga

Palestin bergolak atas keizinanMu
Kau mahu Palestin menjadi guru
Pelajaran bagi semua umat MU
Menyuluh jalan pulang padaMU

Aku meminta pengampunan dariMu Ya Allah
Kerana setelah semua yg aku laku
kau masih sudi membuka mataku
kau masih sudi mahu bersama ku
Kau masih sudi sayangkan aku
Kau sayangkan aku

Aku bersyukur dan merasa rendah
kerana diriku yang masih kau endah
Akan ku balas cintamu dengan seluruh jiwaku
dengan badan besarku
dengan seniku, dengan jenakaku, dengan akalku
dengan mata kecilku yang kini melihat kebesaran Mu
kekuatan Mu, Ke BijaksanaanMu, PengampunanMU
Cinta Mu yang memang tidak ada seteru.
Semua yang ku lakukan kini kerana Mu

UntukMu inginku menjadi Qalam
Akan aku ceritakan kebesaranmu kepada sekian Alam
Akan ku sampaikan kasih mu yg sangat mendalam
Ya aku, Budak gemuk yg 120kg ni... ISLAM.

Allahu akbar!

Nukilan : Ammu Afdlin Shauki aka Abu Miasara

Wednesday, December 19

Izinkan Aku Menangis

Assalammualaikum w.b.t

Syukur alhamdulillah kepada Allah s.w.t kerana masih meminjamkan roh untuk terus menukil selembar kata-kata yang lahir dari sanubari kehidupan seorang hamba. Cinta Rasulullah s.a.w. yang tersemat di qalbu memberi suntikan semangat untuk menulis dan terus menulis...


Aku ingin menangis seketika,
Mengenang diri yang semakin dewasa ini,
Hidup kita sememangnya tidak sempurna,
Tetapi hakikatnya kita perlukan kesempurnaan untuk hidup....

Sekali lagi aku terjatuh dan terjatuh..
Tak mampu lagi nak bangkit menyuarakan apa yang tersirat dalam qalbu..
Hanya mampu berdiam diri ketika diri sendiri di persalahkan setiap hari..
Aku biarkan semua ini terus berlalu dengan sekelip mata..

Sekali lagi berlaku dan terus berlaku..
Adakah aku cukup kuat untuk bertahan dan terus mempertahankan semua ini ?
Sampai bila hati akan jadi sebegini?
Memendam rasa hingga penghujungnya?
Bukan ini yang aku mahukan dari sebuah kehidupan..
Kebahagiaan yang ingin dikecapi hanya mimpi…
Sesekali aku takkan pernah nyatakan apa yang aku inginkan .

Izinkan aku terus menangis...
Kenapa harus aku menangis dan terus menangis?
Adakah aku sedang bermain dengan emosiku sendiri?
Atau aku sedang asyik melayani mimpi disiang hari?

Inilah dugaan yang harus aku tempuh
Aku kuatkan diri menghadapi ini semua..
Biarlah dengan kata orang..
Aku tetap akan teruskan kehidupan didunia yang fana ini….
Kerana aku tahu tiada kehidupan yang lebih bahagia..
Melainkan di akhirat sana kekal abadi

Izinkanlah aku terus menangis di dunia ini…
Kerana aku tahu satu hari nanti tangisanku ini bakal terhenti…

Jazakallahukhoir….

Friday, November 23

Diam membisu


Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah, rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt. Tidak lupa jua buat junjungan tercinta nabi Muhammad SAW, pemimpin agung seluruh alam. Sekali lagi ana diberi kesempatan untuk menulis memenuhi ruangan warkah ini.

Hari demi hari,
Kadangkala kekurangan dirasai,
tidak pernah puas menilai
walau sudah diungkap
“ kita ini manusia biasa..banyak khilafnya…”
Tapi tetap rasa ingin tahu,


Kadang kala aku terus berdiam,
Hendak meluahkan tiada untungnya.
Tapi tetap menjadi realiti hidup

Bibir tertutup rapat
Mulut terkatup kemas,
Lidah rasa kelu nak bebicara,
Pabila tuduhan mula kau lemparkan
Saat curahan susun kata mengalir keluar,
Terus, hukuman dijatuhkan.

Mungkin,
Ya, mungkin diam itu lebih senang,
Walau hati dibakar tuduhan,
Lalu minyak tanah yang kau curahkan,
Hampir merentungkan iman,
Kau patut lihat ke dalam qalbuku,
kegigihan menjadi bomba,
memadam api amarah dengan kesabaran,

Maka mulutku memilih untuk terus diam membisu.

Helaian kertas elektronik
Menjadi diari setia
Dan kekunci hitam kini setia membaca bait-bait kataku
Kususun serapi mungkin
Bait-bait itu, jika dibaca kau pula
Mungkinkah jadi wadah kau berfikir?

Namun tetap,
Aku mahu kau fahami aku
Walau aku terus berdiam.

Monday, August 6

Pesanan Dalam Perjuangan



Assalammualaikum w.b.t

Indahnya dunia ini ciptaan yang maha esa. Udara yang segar menyingkap segenap ruang yang ada. Begitu cantik dan comel penciptaan manusia. Cuma kadang kala manusia tidak kenal erti bersyukur. Tapi apa pun kita ini manusia juga seperti mereka. Tidak boleh lari diatas landasan kekhilafan. Alhamdulillah, Allah masih sayang kan kita, jika tidak kita tidak akan merasa segala macam nikmat yang mencurah ruah tanpa minta dibalas dan kita juga tidak mampu membalasnya.

RaPI atau Rakan Pusat Islam hari ini ibarat sebuah kapal yang membawa sinar islam dalam pelayaran terus menyusuri dan menyantuni warga UPSI. Nakhoda dan anak-anak kapal yang ada tetap setia mengharungi liku-liku perjuangan bersama walau dibadai ombak sekali pun. Seribu doa mengiringi pelayaran agar terus istiqomah dalam perjuangan. Jangan sesekali berpatah arah walau ombak tinggi bergunung. Ingatlah ganjaran Allah sentiasa menanti bagi hambanya yang memperjuangkan agamanya 

Mungkin, Ada rahasia-Nya yang belum terungkap...Ada kasih-Nya yang belum terengkuh...
Ada makna yang belum difahami...Ada hikmah yang belum terselami...
Dan mungkin,
Ada lebih banyak hal yang belum diketahui daripada yang telah diketahui...
Namun, Selalu ada keyakinan... bahwa janji Allah adalah pasti!
Allah memiliki rencana terbaik-Nya... untuk kita...
dan Dia akan selalu memberikan yang terbaik ...
bagi hamba-Nya yang beriman dan  bertaqwa... 

Jazakallahu khoir


Saturday, April 7

Hidup Kali Ke Dua


Assalamualaikum,
Alhamdulillah, ana masih diberi ruang untuk menulis warkah ini dan alhamdulillah, ana masih diberi kesempatan untuk hidup oleh Allah, menghirup udara segar, melihat sinaran cahaya matahari serta yang paling penting ana dapat bersama keluarga dan sahabat-sahabat ana yang ana cintai. “Alhamdulillah ya Allah, Engkau bagaikan memberi aku hidup kali kedua untuk aku muhasabah diri ini aku.Terlalu banyak khilafku. Engkau memberi rasa sedikit sahaja ujian yang mana tidak seteruk saudara-saudara kita di Palestin, Syiria  dan sebagainya tetapi ini pun aku masih tercungap-cungap. Hanya Engkau sahaja dapat mengetahui isi hatiku. Alhamdulillah..Jika Engkau mentakdirkan aku mati, matikanlah aku dalam iman dan tempatkan aku dikalangan orang-orang yang soleh .amin” Maap sahabat-sahabat. Ana masih memerlukan rehat secukupnya. InsyaAllah dimasa akan datang ana akan sajikan dengan cerita atau pengalaman ana yang menarik.Teruskan bersama Cikgu Amirul.
Jazakallahu khoir

Thursday, March 22

Warkah Berwajah Baru

Assalamualaikum,

Ahlanwasahlan buat sahabat ana yang setia membaca blog ana...kini blog ana berwajah baru...alhamdulillah dengan izin Allah Rabbul Izzati, ana diberi kesempatan untuk menceriakan lagi blog ana. Cuma tinggal 20% lagi blog ini siap sepenuhnya, insyaAllah....

Blog wajah lama

..erm...sudah sekian lamanya ana membisu...maklumlah ada peperiksaan akhir semester...insyaAllah akan datang ini ana akan ceritakan pula tentang pengalaman ana mengajar pada musim cuti ini...sebelum tu jangan lupa...letakkan tanda ini di blog sahabat sebagai tanda sokongan anda.


<center><a href="http://warkahcikguamirul2u.blogspot.com" target="_blank"><img src="http://i1210.photobucket.com/albums/cc404/cikguamirul/TokGuru-1.jpg" border="0" alt="Photobucket" /></a></center>



<center><a href=" http://warkahcikguamirul2u.blogspot.com " target="_blank"><img src="http://i1210.photobucket.com/albums/cc404/cikguamirul/SelamatDatang.jpg" border="0" alt="Photobucket" /></a></center>

Jazakallahu khoir

Monday, March 19

Ujibakat Imam Muda

Alhamdulillah..seisi ujibakat Imam Muda Astro Oasis berjalan dengan lancarnya. Seramai tujuh orang peserta mencuba nasib dalam ujibakat yang diadakan di masjid kampus baru UPSI iaitu di Kampus Sultan Azlan Syah, UPSI. Sesi ujibakat yang bermula dari 2 petang hingga 4 petang itu dijalankan sebenarnya bertujuan memberi ruang kepada mahasiswa UPSI mencungkil bakat tersendiri.











Marilah sama-sama kita doakan mudah-mudahan mereka semua ini berjaya terpilih mewakili UPSI dalam program realiti imam muda musim ketiga kali ini. Semoga melalui program ini juga dapat menarik minat mahasiswa-mahasiswi UPSI mendekati program berunsurkan kerohanian sekali gus dapat membentuk mahasiswa yang berakhlak serta mempunyai sahsiah peribadi yang tinggi.InsyaAllah...

Jazakallahu khoir



Sunday, February 26

Suasana Di Syria



PERISTIWA SYRIA

Syria merdeka dari penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya Basyar Al-Assad yang telah memerintah selama 11 tahun.Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator.
Hafez Al-Assad berpegang pada Syiah Nusairiyah, yang menyimpan perasaan dengki terhadap rakyatnya daripada MUSLIM SUNNI, yang mencaci dan menghina Saidina Aishah dan Ummahatul Mukminin radhiyallahu anhum, diharamkan sembelihan mereka, mereka melakukan kejahatan yang pelbagai, mereka tidak solat di masjid kita (ASWJ) Ahli Sunnah Waljamaah.
Kerajaan Syria didokong oleh Iran yang terkenal dengan Syiahnya, bahkan Hafez sendiri merupakan pelampau Syiah.
Syeikh Hassan seterusnya menceritakan tentang Syria yang mana 6 peratus darinya merupakan Syiah Alawie, 10% darinya beragama Kristian dan 84% daripada rakyatnya beragama Muslim Sunni.
5000 + TERBUNUH
Sejak kebangkitan rakyat menentang
pemerintahan Basyar AL-Asaad
Punca Kebangkitan Rakyat
Sekumpulan kanak-kanak dalam lingkungan 28 orang bermain-main dan telah menulis di dinding sekolah "Rakyat Mahu Jatuhkan Kerajaan"
Kanak-kanak tersebut ditangkap dan diseksa (dibuang kuku kaki dan tangan).
Beberapa orang kanak-kanak telah disahkan meninggal dunia .
Ibu bapa mereka menuntut mayat mereka dan mohon kanak-kanak lain dilepaskan.
  
Apa Yang Berlaku???
  • 4000 rakyat syria syahid
  • 39000 tercedera tanpa dirawat
  • 413 orang syahid dipenjara
  • Tidak dibenarkan melaungkan Takbir (Allahu Akbar)
  • Wanita diculik digari sebelum dirogol
  • Dipaksa melafazkan "lailahaillah basyar asad"
Mereka adalah saudara seislam kita. Kesakitan mereka sepatutnya mereka rasai.

Jazakallahu Khair

Amerika membakar Al-Quran



Mahasiswa Pendidik, UPSI berasa kesal dengan tindakan biadap pihak tentera Amerika Syarikat membakar beberapa naskhah Kitab Suci Al-Quran di Afghanistan kerana ia merupakan tindakan penodaan dan penghinaan terhadap agama Islam. Dan baru-baru ini Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sudah pun segera meminta maaf dan berjanji untuk mengambil langkah bagi mengelakkan pengulangan kejadian ini di samping mahu bertindak ke atas mereka yang bertanggungjawab. Menurutnya, langkah Obama merupakan reaksi yang positif daripada pihak Amerika, dan berharap bahawa tindakan susulan akan diambil supaya insiden seperti itu tidak akan berulang. Tindakan balas itu juga telah mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya lima pembantah Afghanistan dan dua askar Amerika.Sinar harian online juga ada mengeluarkan kenyataan maaf dari Nato. Berikut adalah petikan tersebut:


KABUL – Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) dan Nato mengambil tindakan segera untuk memohon maaf atas tindakan mereka membuang dan membakar beberapa naskhah al-Quran sementara beratus-ratus rakyat Afghanistan berhimpun di pekarangan pangkalan tentera udara Bagram dekat sini, hari ini.

Sementara butiran mengenai kejadian itu belum jelas, pegawai tertinggi tentera AS dan Nato di Afghanistan menawarkan permintaan maaf dan menjanjikan satu siasatan dalam usaha mengawal kemarahan.

AS menggerakkan serangan udara ke atas negara itu pada 2001 dan mengekalkan pasukan tenteranya selepas pemerintahan Taliban digulingkan.
“Saya memberi anda jaminan. Saya beri jaminan, ini bukan sesuatu yang disengajakan,” kata Jeneral John Allen dalam satu kenyataan, demikian menurut portal Guardian dari UK, hari ini.



Kami sentiasa bersama perjuangan Mahasiswa Pendidik UPSI

Sunday, February 12

Semangat yang hilang

Assalamualaikum,

Petang yang dihiasi cahaya mentari,
Ditemani tiupan angin kemesraan,
Melayani setiap jendela jiwa yang tergapai,
Mengharap ketenangan yang maha esa.

Hidup ini ibarat roda yang berputar,
Kadangkala kita di atas,
Gembira bagai di syurga,
Dan kadang kala kita di bawah,
Terasa amat pedih hidup ini,
Tetapi itu realiti hidup.



Tatkala merenung dibayangan sendiri,
Sementara menunggu hari silih berganti,
Kadang-kadang terfikir juga aku,
Manusia itu tidak lengkap,
Jika tidak dihujani dengan duri kehidupan,
Namun aku bingung,
Hari ini aku hadapi pelbagai jenis duri,
Tatkala tertusuk hampir-hampir aku menjerit,
Aku cuba tahan sedaya mampu.

Tetapi aku ini juga manusia biasa
Semangatku yang dulu meninggalkan aku bersendirian,
Entah ke mana perginya semangatku yang dulu,
Disaat awal membuka lembaran baru di bumi murabbi,
Mungkin ia tidak mahu bersama perjuanganku lagi,
Walaupun puas ku mencari namun tiada yang berganti.

Siapa yang tahu ke mana ia menghilang?
Siapa yang tahu mengapa ia pergi meninggalkan ku?
Tolong katakan, tolong, tolong…
Aku tidak mahu dihantui kegelapan

Ya Allah, Ya Tuhanku,
Engkau  maha berkuasa bagi seluruh makhluk,
Sanggupkah engkau biarkan aku hanyut dibumi murrabi ini?
Tidakkah Engkau merasai penderitaan aku selama ini?
Atau engkau memang mahu menguji hambaMu yang lemah ini?
Jika jawapannya ya, Engkau tambahkanlah kekuatan pada diriku ini,
Agar terus tabah dan sabar menghadapi ujianMu ini,
Kerana aku tahu setiap yang bernyawa,
Akan kembali kepadaMu,
Innalillahiwainna ilaihi rajiun…..

Nukilan asli Cikgu amirul,
Pujangga Perjuangan
Jazakallahukhair....

Monday, February 6

Lembaran Doa Buat Hari LahirKu

Bismillahirahmannirahim,


Ya Allah, Ya Tuhanku..
Terima kasih Ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan.
Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan.
Terima kasih untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan.
Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan.
Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku..
dan terlalu sedikit pengabdianku terhadapMu.

Engkau tetap menerima walau terkadang aku alpa, aku lupa, aku tersilap 
dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan. 
Namun begitu besar kasihMu..
Engkau tetap melindungi aku walaupun terkadang aku kalut 
merungut ketika saat-saat lemahku datang. 
Aku tidak pernah menafikan hakMu sebagai Khaliq 
walaupun terkadang aku terbuai dengan kesedihan 
dan kesakitan yang amat pedih.

Ampunkan aku Ya Allah apabila aku merintih nasibku di hadapanMu.
Kalau bukan kepadaMu,kepada siapa lagi harus ku mengadu?
Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini Ya Allah..
namun aku hanyalah hambaMu yang dhaif dan lemah. 
Adakalanya aku kurang kesabaran. 
Ada masanya aku goyah keimanan.
Ada masanya aku hampir terikut bisikan syaitan. 
Namun dengan limpahan kasih sayangMu, 
Engkau menarikku kembali jauh daripada kesesatan.

Dalam usia begini..aku ingin menjadi lebih dekat padaMu Ya Rahman. 
Dalam usia yang semakin jauh ini..aku ingin lebih merinduiMu Ya Rahiim.
Dalam usia semakin meningkat ini aku ingin sekali 
menyambut panggilan KaabahMu Ya Malik. 
Yang aku inginkan hanyalah ketenangan, kekusyu’kan beribadah, 
segala kesederhanaan dan kerendahan hati 
tanpa berhenti menghulur kasih pada yang sudi..

Ya Muhaimin..pimpinlah tangan hambaMu ini..pimpinlah hati hambaMu ini..
pimpinlah langkah hambaMu ini akan sentiasa berpijak di atas kebenaran.
Ya Al Quddus...sebagai hambaMu yang hina ini, aku takkan mungkin mencapai sempurna,
tapi kasihanilah aku..bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti titian siratulmustaqimMu 
dengan tenang dan mudah tanpa cela..

Ya Al-Hakim..berikanlah ilham kepadaku agar aku mampu terus berkarya, 
agar aku terus mampu memberikan sedikit iktibar dan dakwah 
walaupun hanya menggunakan tinta nuraniku. 
Hulurkan kepadaku kebijaksanaan agar aku mampu 
terus memacu kalam keinsanan 
sehingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi.


Terima kasih Ya Tuhan, atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untukku.
 Engkau Yang Maha Besar lagi Maha Mengetahui segalanya.
peliharalah aku agar terus berpegang teguh pada taliMu..
Terimalah permohonan hambaMU yang serba kekurangan ini Ya Tuhanku..

Amin Ya Rabbul 'Alamin....

Thursday, February 2

Suara Hati Cikgu

Assalammualaikum.

Alhamdulillah..ana bersyukur kepada Allah yang sentiasa memberi ruang dan masa untuk ana terus menulis di warkah ini. Sejak kebelakangan ini ana banyak menulisan entry mengenai cinta. Tentu ramai sahabat yang tertanya-tanya..erm.. Sebenarnya ana sedang mengkaji apa pandangan remaja remaji masa kini berkenaan dengan cinta..dan bagaimana remaja ini mendalami makna cinta sebenar.. Berdasarkan kajian ana majoriti yang membuka blog ana adalah golongan remaja. Dan kali ini ana juga nak kupas sedikit mengenai sajak ana baru-baru ini.

Sajak mengenai seorang lelaki yang ingin mendekatkan diri dengan seorang perempuan. Kenyataan ini bukan bermakna lelaki itu ingin bercinta tetapi ingin menjadikan perempuan itu seorang isteri kerana cinta sebenarnya hadir selepas berkahwin bukan beerti sebelum berkahwin Digambarkan dalam sajak ini juga perempuan yang hendak dimiliki seorang yang muslimah sehinggalah pada suatu ketika lelaki itu menyampaikan hajatnya ingin melamar perempuan itu.. Malangnya lamarannya ditolak.. Walaupun sekecewa mana pun, lelaki itu tetap tabah dan menerima segala ketentuan dari Allah.

Sajak ini banyak ana masukkan nilai-nilai pengajaran supaya kita sentiasa istiqomah dalam mendekatkan diri kepada Allah.. nak menggapai cinta manusia perlu cari dulu cinta Allah.. dan jodoh adalah ketentuan Allah tetapi jika duduk sahaja berdoa tanpa usaha pun tidak boleh juga..Prinsip doa, usaha dan tawakal perlu diterapkan bersama..Syukran jazilan kepada sahabat pembaca kerana sentiasa menyokong penulisan ana. Mudah-mudahan Allah sentiasa  memberi idea-idea untuk ana terus menulis. Mohon kepada juga kepada pembaca memberikan pandangan atau komen tentang post ana.. Bolehlah ana memperbaiki sedikit sebanyak kekhilafan ana..InsyaAllah….

Jazakallah...

Saturday, January 28

Jawapan Tinggal Kenangan

Assalammualaikum…




Aku rasa hari ini lain daripada yang biasa,
Entah, mungkin hanya aku seorang yang merasai,
Ibarat baru tersedar dari buaian mimpi,
Sehinggakan pada satu ketika,
Hilang gema suaraku,
Terdiam membisu,
Duk mengenang kekhilafan diri.





Aku cuba menyembunyikan perasaanku ini,
Tiba-tiba dadaku sebak menahan kesedihan,
Titisan air yang berladung di kolam mini,
Setitik demi setitik jatuh membasahi bumi murabbi,
Perasaan hiba menjadi pemutus semangatku.






Hampir setahun lamanya aku pendamkan,
Kini jawapan sudah ku temui,
Tak mampu lagi aku berkata-kata,
Tak mampu rasanya muka nak diangkat,
Hanya Allah yang tahu sesedih mana diriku ini.

Adakah disini perhentianku,
Mana titik noktahnya,
Aku masih kabur,
Ini kenyataan atau suratan
Atau aku masih berada dialam kayangan
Harapan tetap tinggal kenangan.

Tenang seketika terfikir sejenak,
Ini ujian Allah pada hambanya,
Mungkin kifarah atas dosa-dosaku lampau,
Tapi aku tetap istiqomah dalam istikharah,
Aku yakin pasti ada pertemuan,
Tidak didunia, akhirat kelak pasti kutemui.
InsyaAllah………


*Nukilan Hati Ke Hati Cikgu Amirul
*28 Januari 2012 bersamaan 4 Rabiul Awal 1433 H
*6.00 petang di Ladang Sungai Nil ,Bumi Murabbi

Jazakallah.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Sample text

Copyright 2011 @ Laman Rasmi Cikgu Amirul2u. PENAFIAN :Cikgu Amirul2u adalah tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini. Dibangunkan oleh cikguamirul@yahoo.com